
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM110,000 kepada golongan asnaf di Masjid At-Taqwa, Kampung Selayang Baru, di sini hari ini.
Sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang disampaikan baginda membabitkan wang tunai RM100 kepada setiap 1,100 anak yatim di daerah Gombak bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri awal bulan hadapan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah, berkata yayasan itu memperuntukkan RM797,000 tahun ini untuk diagih-agihkan kepada anak-anak yatim yang berdaftar dengan YIDE.
“Gombak adalah daerah kelima yang menjadi lokasi penyampaian sumbangan untuk anak yatim daripada YIDE sempena Aidilfitri tahun ini.
“Tengku Amir Shah telah berkenan menyampaikan sumbangan kepada empat daerah iaitu Klang (RM144,900), Petaling (RM129,600), Sabak Bernam (RM54,400) dan Kuala Selangor (RM81,000) pada minggu sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
YIDE dimiliki sepenuhnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertanggungjawabkan dengan rumah kebajikan anak yatim di negeri itu, manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah Penaung Diraja sejak ia ditubuhkan pada 2011.
Selain menyalurkan bantuan kepada anak yatim di Selangor, YIDE telah memperkenalkan sistem kupon infaq membolehkan orang ramai menyumbang melalui kupon tersebut sebanyak RM2.
Ianya telah diedarkan kepada amil-amil fitrah di daerah Petaling dan Klang sebelum Ramadhan lalu sebagai projek perintis dan akan dipanjangkan ke setiap daerah pada masa hadapan.
Langkah proaktif diambil YIDE sebagai menjunjung titah Sultan Selangor selaku penaung YIDE menjaga kemaslahatan anak-anak yatim dalam negeri Selangor.
Turut hadir, Menteri Besar, Amirudin Shari, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’Wan Teh; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim dan Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim.
-NAZ