
Laporan/foto: Ramasamy Amas / Siti Noorezrin Mahmod (Jempol)
JEMPOL 14 Jul (Malaysiaaktif) –Jabatan Imigresen Daerah Jempol yang telah lama diinginkan oleh rakyat Jempol bakal beroperasi menjelang akhir tahun ini, demikian kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun kepada wartawan.
Aminuddin mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengadakan lawatan ke tapak projek bagi melihat perkembangan kerja-kerja baik pulih bangunan kediaman untuk kakitangan awam yang telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai Pejabat Jabatan Imigresen Daerah.
Tambah beliau, pembinaan pejabat Imigresen ini jelas menunjukkan kerajaan negeri komited dan peka dengan keperluan masyarakat kerana perkara ini telah lama dipohon oleh rakyat Jempol.
Menurut Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Jempol, Rusdi Abu Bakar, bangunan tersebut suatu ketika dahulu merupakan rumah kediaman Penolong Pegawai Daerah Jempol yang telah dipindah milik sebagai bangunan persekutuan.
Tambah beliau lagi, kerja-kerja baik pulih keseluruhannya menelan belanja RM404,843 ribu merangkumi 3 aspek kerja iaitu kerja sivil, kerja elekrik dan kerja-kerja mekanikal.
Kerja-kerja sivil selain daripada membaikpulih bangunan mengikut skop kerja yang ditetapkan, turut melibatkan pembinaan bangunan tambahan bagi ruangan menunggu dan 1 blok tandas awam (lelaki dan wanita) termasuk tangki air berkapasiti 500 gelen.
Dengan beroperasinya Pejabat Imigresen ini nanti, ia bukan sahaja akan memberikan kemudahan kepada masyarakat Jempol malah negeri berdekatan iaitu Pahang. Jika sebelum ini, warga Jempol terpaksa ke Seremban ataupun ke Segamat yang mempunyai jarak lebih 60km untuk berurusan dengan Jabatan Imigresen.
-KN