Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Penjawat Awam Perlu Konsisten dalam Menjalankan Tugas

By 14 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Ramasamy Amas/ Siti Noorzrerin (Jempol)

JEMPOL, 14 Jul (Malaysiaaktif) – “Penjawat awam mesti konsistan dalam menjalankan tugas dan  menjadi tulang belakang dalam menjayakan visi dan misi kerajaan negeri selain bertindak sebagai landasan untuk berkongsi maklumat mengenai perkembangan pembangunan mahupun perancangan di Negeri Sembilan untuk disampaikan ke peringkat akar umbi,” demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun di Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Awam Daerah  Jempol sempena lawatan kerja sehari ke Daerah Jempol, Jumaat lalu.

Beliau yang baru pulang dari China malam tadi setelah mengikuti  lawatan kerja bersama Timbalan Perdana Menteri, memberi beberapa input hasil daripada lawatan tersebut  kepada penjawat awam  terutama dari aspek disiplin dan minda yang bersih dan bebas daripada gejala negatif bagi merealisasikan pembangunan yang mampan.

Menteri Besar, Aminuddin bersama Penjawat Awam Jempol.

Menteri Besar, Aminuddin bersama Penjawat Awam Jempol.

Beliau juga memuji penjawat awam kerana terus menerima maklum balas yang positif daripada rakyat dan penjawat awam setelah lebih setahun menerajui negeri ini. Menurut beliau, apa yang penting dan adalah penjawat awam perlu meningkatkan ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan teknologi baharu yang ada pada hari ini, khususnya Revolusi Industri Keempat dan Ekonomi Digital dan Generasi Kelima atau  lebih dikenali sebagai teknologi 5G.

Aminuddin juga mengingkatkan kemudahan infrastruktur yang dibina untuk rakyat perlu diselenggara dengan baik pada setiap masa. “Didiklah masyarakat di sini untuk sama-sama mengamalkan budaya mengekalkan keindahan agar kos penyelanggaran infrastruktur dapat diminimumkan,” ujar beliau.

Aminuddin menandatangani buku lawatan.

Aminuddin menandatangani buku lawatan.

Tambah beliau lagi, kerajaan hari ini bersetuju membina Bangunan Mahkamah Syariah Daerah Jempol yang baharu bagi membolehkan kes-kes perbicaran syariah dijalankan di Jempol dan memberikan kemudahan kepada penduduk Jempol amnya. Begitu juga di Hospital Daerah Jempol sudah terdapat Perkhidmatan Pakar Bedah Am yang melakukan kes-kes pembedahan dengan menggunakaan kaedah bius setempat di Dewan Bedah Hospital Jempol bermula April 2019.

Katanya lagi, Hospital Jempol dalam perancangan untuk menambah pelbagai lagi jenis kepakaran selaras di bawah Konsep Hospital Kluster pada masa akan datang , seperti  Pakar Dada/Paru-Paru (Chest Clinic), Pakar Klinik Berjangkit (Infections Disease Clinic) dan Pakar Sendi (Rheumatology Clinic).

Sementara bagi bidang pertanian pula, Daerah Kuala Pilah dan Jempol dijadikan sebagai Lembah Pertanian Negeri, Program Pembangunan Pertanian seperti tanaman nenas dan buah-buahan akan dimajukan khususnya di kawasan tanah-tanah terbiar yang dianggarkan seluas 162 hektar daripada keseluruhan 9,706 hektar tanah terbiar di Negeri Sembilan. Bagi tujuan tersebut, sejumlah RM15.95 juta disediakan melalui Belanjawan Negeri.

Beliau juga menyeru, Pegawai Penyelaras DUN agar bekerjasama dengan Pihak Pengurusan Felda supaya dapat mempertingkatkan tahap keceriaan perkampungan Felda kerana Daerah Jempol mempunyai tanah rancangan Felda seperti Felda Palong, Felda Serting, Felda Raja Alias, Felda Lui Selatan, Felda Lui Barat, Felda Lui Muda, Felda Pasoh dan juga Felda Rokan.

Pehimpunan bulanan kali ini turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Dr. Razali Ab Malek, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan dan pemimpin pemimpin tempatan, ketua-ketua jabatan peringkat persekutuan dan negeri. Perhimpunan kali ini dimulakan dengan bacaan ikrar perkhidmatan awam diketuai oleh Mas Midyawan Yahya merangkap Pegawai Daerah Jempol.

-KN

Tinggalkan komen anda