Skip to main content
Berita TempatanSabah

Pesara Disaran Teroka Kerjaya Baharu – Hashim

By 15 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norliza Yusof/Mohd Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 15 Jul (Malaysiaaktif) – Pesara kakitangan kerajaan negeri disaran untuk meneroka kerjaya baharu bagi mengisi alam persaraan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hashim Paijan, berkata ini adalah kerana pada usia persaraan 60 tahun, pegawai yang bersara dilihat masih berupaya menyumbangkan jasa dan bakti serta kepakaran bagi memajukan negeri ini khususnya.

“Usia bukanlah penghalang bagi pesara untuk terus memberikan sumbangan, khidmat nasihat serta kepakaran dan mereka adalah berupaya menyumbangkan sesuatu kepada negara.

“Selain itu, pesara juga boleh memanfaatkan masa yang ada dengan menceburi pelbagai bidang antaranya perniagaan, tenaga pengajar sambilan ataupun aktif dalam bidang-bidang sukarela seperti Persatuan Pesara Kerajaan Sabah.

“Diharap para pesara dapat terus mengisi kehidupan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan dalam masa yang sama akan terus mencurahkan jasa dan bakti kepada masyarakat, negeri dan Malaysia,” ucapnya pada Majlis Jasamu Dikenang Zon Pantai Barat, di sini hari ini.

Antara pesara yang diraikan pada Majlis Jasamu Dikenang Zon Pantai Barat.

Antara pesara yang diraikan pada Majlis Jasamu Dikenang Zon Pantai Barat.

Menurut Hashim, majlis yang diadakan pada hari ini adalah sebagai tanda penghargaan pihak kerajaan kepada pesara yang telah banyak memberikan jasa dan bakti.

“Sesungguhnya kerajaan negeri mempunyai ramai pegawai awam yang berkerja dengan telus dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab serta mencurahkan bakti kepada masyarakat dan negeri tanpa mengenal penat dan lelah.

“Oleh itu, wajarlah kerajaan negeri memberikan pengiktirafan atas jasa dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang mereka berkhidmat sebagai penjawat awam,” ujarnya lagi.

Seramai 113 pesara kakitangan kerajaan negeri Sabah dirai dalam majlis tersebut yang meliputi daerah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Papar.

Turut hadir, Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Datuk Rosmadi Datu Sulai dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Mohd Hanafiah Mohd Kassim.

-SH

Tinggalkan komen anda