
Laporan/foto : Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 2 Ogos (Malaysiaaktif) – Penguatkuasaan secara holistik terhadap kilang kitar semua sisa plastik khususnya kilang haram perlu diperketatkan lagi bagi membendung pencemaran alam sekitar yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
“Sisa plastik yang memasuki negara kita dengan kebenaran ataupun secara haram di pelabuhan atau di pintu-pintu sempadan akan menambahkan lagi pencemaran di negara ini.”
“Pintu masuk seperti ICQ Padang Besar dan Wang Kelian turut berpontensi menjadi tempat kemasukan sisa plastik ini jika pihak berkuasa tidak memberi perhatian yang sewajarnya,” titah baginda ketika melancarkan Minggu Sains Negara peringkat negeri Perlis di Dewan Warisan di sini, malam tadi.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) MESTECC Ruslan Mohammad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Rozieana Ahmad, Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof.
Titah baginda lagi, peningkatan jumlah sisa e-waste juga perlu diberi perhatian yang serius dan faktor tersebut disebabkan hasil dari ledakan pantas peralatan teknologi seperti komputer, televisyen, telefon bimbit serta barangan elektronik yang lain.
“Sisa-sisa e-waste perlu diuruskan dengan berhati-hati kerana ia mempunyai logam berat dan toksik yang berbahaya dan pengurusan yang baik juga akan memberi faedah serta pulangan hasil yang lumayan kerana ia juga mempunyai logam yang berharga seperti emas, kuprum dan lain-lain lagi,” ujar baginda lagi.
Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah, Jabatan Alam Sekitar telah mengadakan Program Kitar Pemerolehan Kembali Sisa Buangan Elektronik Isi Rumah dan Pelupusan e-waste untuk memastikan keberkesanan pengurusan e-waste di negeri ini dan program ini mendapat kerjasama pelbagai pihak melalui pengumpulan e-waste di permis-permis kerajaan, sekolah serta instituti pengajian tinggi di negeri ini.
Terdahulu, Isnaraissah Munirah dalam ucapannya berkata penganjuran Minggu Sains Negara pada tahun ini merupakan kali kedua di seluruh negara.
“Minggu Sains Negara merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk memupuk minat terhadap ilmu sains dan menyokong usaha kerajaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).”
“Program ini dilaksanakan dua peringkat pada tahun ini iaitu fasa pertama dari 1 hingga 7 April 2019 di Terengganu, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Pusat Sains Negara Cawangan Utara di Kedah manakala di negeri lain termasuk Perlis akan bermula dari 15 Julai hingga 28 Ogos ini dengan membawa tema “Sains Untuk Kesejahteraan,” katanya lagi.
Minggu Sains Negara peringkat negeri Perlis akan diadakan di Dewan Warisan Kangar mulai dari 1 hingga 4 Ogos 2019 dengan pelbagai aktiviti menarik yang bakal menanti para pengunjung.
Penganjuran Minggu Sains Negara pada tahun ini juga memberi penekanan mengenai kempen hindari penggunaan plastik sekali guna dan pihak MESTECC telah melancarkan roadmap for single-use plastic bertujuan untuk memberhentikan penggunaan plastik yang mengambil masa 400 hingga 1000 tahun untuk terurai.
-NI-