
Laporan/foto: Mohd Baharruddin Mohamad/Ustaz Helmi (Sarawak)
KAPIT, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 100 buah keluarga mangsa banjir dari Kampung Long Busang, Kapit telah menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM 1,500 setiap keluarga.
Ustaz Haji Khalidi bin Ibrahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) yang mewakili Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) menyampaikan sumbangan jumlah keseluruhan sebanyak RM160,000.00 bertempat di Ruai Besar,Kampung Long Busang di baru-baru ini.
Semasa majlis penyampaian,beliau menyeru agar penduduk Kampung Long Busang terus memelihara keharmonian dan keamanan yang telah wujud di kampung tersebut dan berharap semoga bersabar atas musibah yang menimpa keluarga tersebut.
Beliau memberitahu sumbangan tersebut adalah hasil kutipan yang telah dijalankan di masjid dan surau seluruh Sarawak bermula bulan Jun yang lepas dan dijelaskan pada hari ini dengan bertujuan untuk membantu membeli keperluan harian.
Sumbangan wang tunai turut diberikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Rahmah Long Busang bagi membantu pengurusan dan pengimarahan masjid di kampung tersebut,ujarnya.
Turut membuat kutipan Majlis Islam Sarawak melalui Jabatan Agama Islam Sarawak juga mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kutipan Masjid/ Surau untuk mangsa-mangsa banjir di Kampung Long Busang, Kapit.
Beliau juga menjelaskan kutipan ini juga hasil sumbangan dari agensi-agensi dan pertubuhan Islam Sarawak seperti Tabung Baitulmal Sarawak, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH), Pusat Penerangan Islam Sarawak, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Sarawak dan Yayasan Ikhlas Malaysia.
Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Ustaz Mual Suaud, Pengarah Jabatan Mufti Negeri Sarawak, Ustaz Hamdan Jar’ee Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Cawangan Sarawak, wakil-wakil agensi Islam dan pertubuhan Islam yang lain serta Tuan Haji Yusuf Zawawi Ketua Kampung Long Busang.