
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/ Marusin Minuddin
KOTA KINABALU, 5 Ogos (Malaysiaaktif) – Kunjungan seramai 38 ahli Kelab Malaysiaku (KM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sook, Keningau kepada Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Norzawiyah Bulka, pagi tadi bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan mendedahkan ahli-ahlinya tentang dasar-dasar kerajaan.
Guru Pengiringnya, Joerizul Patil berkata kunjungan yang dilakukan itu juga adalah untuk memperkenalkan ahli-ahli KM akan fungsi-fungsi JaPen Malaysia seperti mana taklimat yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penerbitan dan Dasar Negara, Azman Sipan.
“Dengan menjadi ahli KM yang ditubuhkan di bawah JaPen, saya dapat melihat perubahan positif dalam diri pelajar, daripada tidak tahu apa-apa mengenai dasar-dasar kerajaan, mereka kini sudah tahu serba sedikit terutama daripada segi dasar pendidikan dan yang paling utama kesedaran terhadap pentingnya semangat Rukun Negara.
“Di samping itu juga, melalui KM, pihak sekolah dapat bekerjasama dengan JaPen dalam pelbagai perkara antaranya dalam penganjuran lawatan seperti hari ini.
“Berikutan hubungan baik yang terjalin ini juga, kami sering menjemput JaPen untuk hadir ke program anjuran kami bagi menyampaikan ceramah mengenai kenegaraan,”katanya.
Sempena bulan kebangsaan juga, SMK Sook turut menganjurkan pelbagai program yang melibatkan pelajar-pelajarnya untuk menggelorakan lagi semangat cintakan negara.
“Untuk sambutan Hari Kebangsaan di sekolah, kami turut mengadakan pertandingan sketsa dan pidato berkonsep yang sama seperti yang pernah dianjurkan oleh JaPen sendiri.
“Persekitaran sekolah pula akan kami hiaskan dengan jalur gemilang bermula dari dalam kelas sehingga ke pagar sekolah.
“Pelajar kami sangat memberi sokongan kerana kami juga membuat pertandingan hiasan jalur gemilang di dalam kelas dan mereka memberi sambutan yang menggalakkan walaupun perlu menggunakan bajet sendiri.
“Yang lebih teruja, kami turut terlibat bersama JaPen Keningau untuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di mana semua pelajar dan guru akan menyambut rombongan KMJG di sekolah dan Daerah Sook amnya,” ujarnya gembira.
Rombongan lawatan dua hari SMK Sook yang turut disertai dua lagi guru pengiring iaitu Donald Michael Obih dan Precylla Somorit turut mengunjungi Lok Kawi Wildlife Park, Universiti Malaysia Sabah dan Dewan Undangan Negeri yang berakhir petang ini.
ER