
Laporan/foto: Muhamad Zaini Dollah/ Mohd Faizal Mat Akhir (Seberang Perai Selatan)
NIBONG TEBAL, 7 Ogos (Malaysiaaktif) – Pusat Khidmat ADUN Sungai Acheh dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia telah menganjurkan Karnival Pasar CO-OP dan Kempen Kediaman Selamat bertempat di Perkarangan Masjid Jamek Sungai Acheh di sini, baru-baru ini.
Program ini telah dirasmikan oleh Exco Perdagangan Antarabangsa dan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan Pulau Pinang, Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Hussain dan telah berjaya menarik minat penduduk Sungai Acheh untuk bersama- sama menjayakan program yang julung kali diadakan pada Sabtu lepas.
Abdul Halim berkata dalam ucapannya, “Pasar CO-OP menawarkan barangan berkualiti dengan harga lebih murah daripada pasaran adalah inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu menangani kos sara hidup”.
“Dengan sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat, diharapkan ia menjadi pendorong koperasi untuk menyertainya pada masa hadapan dan menjadi platform jualan barangan keperluan dengan harga lebih rendah”, tambahnya lagi.
Selain itu, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti jualan pasar co-op (jualan murah barangan dapur), pameran interaktif agensi kerajaan & NGO, kaunter perkhidmatan agensi kerajaan, sembang santai “Selamatkah Rumah Anda” dan “Kosmetik Selamat”, taklimat e-keusahawanan, “Teknik Pemasaran Produk”, serta pertandingan mewarna kanak-kanak.
Penduduk tempatan, Azhar Ahmad 37 , “Inisiatif penganjuran Pasar CO-OP ini adalah salah satu usaha yang baik dalam membantu rakyat mendapatkan harga barangan keperluan harian dengan harga lebih murah lantas dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat”.
Turut hadir Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman dan ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.
-II-