
Oleh : Wan Muhamad Zikri Wan Kamis
PADANG BESAR, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Kira-kira 50 orang warga emas di Felcra Lubuk Sireh turut serta dalam aktiviti kecergasan warga emas program anjuran panel penasihat kesihatan kawasan Kaki Bukit semalam.
Aktiviti kecergasan ini melibatkan tujuh acara sukaneka yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Idris Hashim yang juga pengerusi panel penasihat kesihatan kawasan Kaki Bukit berkata, program yang dirancang sejak tiga minggu lalu itu mendapat sambutan yang baik dari kalangan warga emas di kawasan perkampungan ini.
Menurutnya lagi, aktiviti ini merupakan aktiviti tahunan dan akan terus diadakan bagi memastikan warga emas di sini sentiasa mengekalkan tahap kesihatan yang baik.
Majlis perasmian disempurnakan oleh ADUN Titi Tinggi, Khaw Hock Kong.