
Laporan/Foto: Tengku Nor Liza Tengku Yahya/Parameswary Lekshmnan
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Malaysiaaktif) – Putrajaya sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah lokasi sambutan acara kemuncak kemerdekaan, iaitu Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan ke-62 yang bakal menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia menzahirkan semangat patriotik dan kepentingan perpaduan demi kesejahteraan negara pada 31 Ogos tahun ini.
Bertambah meriah lagi sambutan merdeka kali ini apabila pada hari yang sama, Yang di-Pertuan Agong akan merasmikan Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya atau lebih dikenali sebagai Festival Floria DiRaja Putrajaya.
Festival Floria DiRaja Putrajaya edisi ke-11 ini berkonsepkan Taman Diraja Pahang (Royal Garden Showcase) akan berlangsung selama 9 hari bermula 31 Ogos hingga 8 September.
“Konsep Royal Garden Showcase merupakan daya tarikan utama festival dan ianya amat bersesuaian dengan sempena Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Sultan Pahang,” Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata demikian dalam pertemuan di kementeriannya baru-baru ini. dalam menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
“Paling menarik pada pameran kali ini ialah penampilan bunga orkid yang dinamakan sebagai Queen Azizah Iskandar sempena nama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” kata Khalid yang turut memaklumkan ia bakal diadakan di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya dimana dalam festival ini bunga orkid dan pokok bonsai akan lebih banyak dipamerkan.
Selain itu, Perbadanan Putrajaya juga telah menyusun atur pelbagai aktiviti sepanjang bulan kebangsaan ini seperti Larian Merdeka dan Pertandingan Bay Blade Merdeka dalam usaha menerapkan semangat nasionalisme dalam kalangan warga Putrajaya.
Tambah beliau, “Di peringkat Kuala Lumpur pula, Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 16 Ogos di Dataran Merdeka menjadi acara permulaan disusuli dengan pelbagai aktiviti kemerdekaan berkonsepkan kemasyarakatan seperti Karnival Merdeka di peringkat parlimen oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) mengikut zon masing-masing.”

Floria Putrajaya DiRaja 2019 akan dirasmikan oleh DYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos 2019
Program seumpama ini juga dapat menjadi platform menjalin tali persahabatan antara warga ibu kota ini yang sentiasa sibuk mengejar kejayaan sehingga ada yang tidak mengenali jiran sebelah.
Manakala Perbadanan Labuan bekerjasama dengan Jabatan/Agensi Kerajaan dan badan bukan Kerajaan (NGO) lain menganjurkan program/aktiviti memfokuskan masyarakat setempat khususnya generasi muda dengan matlamat untuk menerapkan nilai-nilai patriotik di sanubari warga Labuan.
Antaranya, Program Penerapan Nilai-Nilai Rukun Negara, Explorasi Merdeka, Fiesta Bunga Raya & Silence Warrior, Larian Wanita Merdeka, Larian Mesra Merdeka dan Borneo Island International Big Bike Festival (BIIBBF) serta Pertandingan Darts Double Terbuka Labuan sempena Hari Kebangsaan 2019.
Pulau bebas cukai ini juga akan dimeriahkan lagi dengan Sambutan Hari Malaysia selama 3 hari bermula 14 hingga 16 September.
“Di samping itu, Kementerian Wilayah Persekutuan juga menggunakan pendekatan untuk memuat naik infografik serta video-video kemerdekaan yang menarik secara berperingkat bagi mencungkil jiwa patriotik para pengguna platform media sosial,” jelas Khalid mengenai usaha kementeriannya dalam meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia dalam menzahirkan rasa cinta terhadap negara.
Ulas Khalid lagi, Kementerian Wilayah Persekutuan dan jabatan/agensi di bawahnya telah mengatur pelbagai program dan aktiviti bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 selaras dengan temanya, ‘Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih’ di mana setiap perancangan kementeriannya menekankan kepentingan perpaduan, semangat cintakan negara dan menerapkan nilai integriti serta jati diri dalam kalangan warga Wilayah.
– AO