
Laporan/foto : Mohd Nasharuddin Mohd Shah (Johor Bahru)
KOTA TINGGI, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 53 orang pelajar tahun 5 dan 6 telah menyertai Sukan Tadika Agama Johor (TAJ) Felda Air Tawar 3 yang diadakan di perkarangan Sekolah Agama Felda Air Tawar 3.
Pelbagai acara sukan telah dipertandingkan antaranya lompat si katak lompat, isi air dalam botol dan bawa bola dalam botol mengikut kumpulan yang telah diagihkan iaitu merah, kuning, biru dan hijau serta acara sukan bagi kategori lelak dan perempuan seperti lompat king kong, susun nombor, bina piramid dan menguntai manik.
Rozalita Robani, ibu kepada salah seorang pelajar yang ditemui berkata, “Dengan mengadakan acara seumpama ini ia secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri dalam diri anak saya dalam melakukan sesuatu perkara serta mengeratkan hubungan kekeluargaan dan siratulrrahim sesama ibu bapa para pelajar”.
Guru Besar Sekolah Agama Air Tawar 3, Norhayati Abdul Wahab ketika berucap di majlis penutup berkata program tahunan ini adalah untuk menarik minat para pelajar untuk bersukan, melatih diri bersikap positif dalam bersukan dan menggalakkan murid untuk bersukan serta memupuk semangat kesukanan dikalangan murid.
“Saya bersyukur kerana TAJ Air Tawar 3 sentiasa mengekalkan prestasi dalam memastikan bahawa para pelajar berjaya khatam al-Quran yang teramai bagi daerah Kota Tinggi”, katanya lagi.
Selain acara sukan untuk anak anak, turut diadakan acara sukan untuk ibu bapa seperti menganyam ketupat menggunakan reben, masuk benang dalam jarum, lambung sayang dan musang berjanggut serta sesi cabutan bertuah.
-NI