
Laporan/foto: Raja Kamarudin Raja Abdul Rahman (Kelantan)
PUTRAJAYA, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Program Pengukuhan Jaringan Strategik Hari Kebangsaan 2019 telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo.
“Program ini diterima secara positif, berjalan lancar dan usaha bersepadu yang melibatkan semua jabatan di Kementerian Komunikasi Multimedia ini merupakan satu usaha yang cukup baik dan mereka adalah ‘Hero Negara’, antara ucapan semangat yang dilontarkan Gobind dalam majlis perasmian tersebut.
Pada hari program tersebut, Komuniti Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah yang mewakili negeri Kelantan dipilih sebagai johan bagi kategori Pertandingan Pintu Gerbang yang paling unik dan cantik.
Mohd Noor Hassan, 59, dari Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah, Kelantan, pemenang bagi kategori Pintu Gerbang berkata beliau amat bersyukur kerana Kampung Bukit Kechik, Tanah Merah Kelantan telah memenangi kategori ini buat kali yang kedua.
“Kemenangan ini dapat menghilangkan rasa penat ketika membina Pintu Gerbang yang dibuat secara gotong royong bersama semua penduduk di Bukit Kechik,” tambahnya.

Menteri KKMM, YB Tuan Gobind Singh Deo menyampaikan mok chek berjumlah RM 5,000 kepada pemenang Kategori Pintu Gerbang.
“Kemenangan ini adalah satu penghargaan di atas kesungguhan semua ahli komuniti disamping dapat menampung balik perbelanjaan yang telah digunakan bagi membina dan menghias Pintu Gerbang tersebut dan secara tidak langsung dapat menanam semangat patriotik yang tinggi di kalangan penduduk,” tambahnya lagi dengan senyum lebar.
“Bagi membina dan menyiapkan sepenuhnya Pintu Gerbang tersebut ia memakan masa seminggu, kami bekerja siang dan malam tanpa mengira waktu dan inilah hasilnya hari ini,” jelasnya dengan penuh ceria kepuasan.
“Pada majlis anugerah kali ini semua ahli yang terlibat menyiapkan replika Pintu Gerbang tersebut hadir bersama-sama bagi meraikan kejayaan ini,” ujarnya lagi.
“Berkenaan dengan hadiah yang dimenangi sebanyak RM5000 ini, kami akan gunakan untuk mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan semua penduduk yang turut terlibat menyediakan pintu gerbang sehingga beroleh kejayaan di peringkat negeri dan kebangsaan,” ujarnya lagi.
Mohd Saufi Dollah, 35, salah seorang ahli jawatankuasa Pintu Gerbang berkata beliau turut berazam untuk mengulangi kejayaan pada tahun hadapan dan persiapan akan bermula seawal bulan Julai lagi bagi menyiapkan perkara-perkara yang perlu demi matlamat tersebut.
“Kemenangan yang diperoleh ini amat bermakna serta menyuntik semangat semua penduduk kampung Bukit Kechik Tanah Merah, Kelantan untuk berusaha lebih keras pada masa akan datang,” katanya lagi.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan ini melibatkan sembilan kategori iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, sekolah menengah dan rendah, taman perumahan, kediaman individu, pintu gerbang, kampung dan institusi pengajian tinggi awam/swasta.
-NAZ