
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 3 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 174 belia yang merupakan pasangan pengantin baharu dari daerah ini menyertai seminar Insentif Generasi Muda Selangor (iGems) di Perpustakaan Awam daerah Gombak, Bandar Baru Selayang, hari ini.
Program anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan Lembaga Penduduk dan Pembangungan Keluarga Negara (LPPKN) bermula jam 8 pagi dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan.
Mohd Sany dalam ucapan perasmian berkata rakyat negeri Selangor sangat bertuah kerana mempunyai sebuah pentadbiran yang mantap serta mempunyai hasil negeri yang dikongsi bersama.
“Program iGems merupakan program penjajaran semula Insentif Perkahwinan Belia yang mewajibkan pemohon yang layak menghadiri kursus kekeluargaan.
“Program ini berkonsepkan pemberian insentif RM300 seorang bagi pemohon dan pasangan yang menepati syarat utama dengan menghadiri kursus selama setengah hari secara bersama,” katanya.
Katanya, kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sentiasa berusaha menjaga kebajikan rakyatnya melalui program-program Insentif Peduli Rakyat (IPR).

Seramai 174 peserta iGems daerah Gombak yang merupakan pasangan pengantin di kalangan belia mengikuti seminar anjuran YAWAS dan LPPKN di Perpustakaan daerah Gombak.
“IPR mempunyai banyak program bermula Kad Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor, program mamogram, bas percuma dan sebagainya bertujuan menjaga kebajikan melalui hasil negeri yang dipulangkan semula kepada rakyat.
“Ianya hasil kestabilan kerajaan negeri dan perpaduan yang utuh warga berbilang kaum membolehkan pelbagai program dapat dilaksanakan,” katanya.
Pada pembentangan belanjawan Selangor yang dibentangkan November tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan Program iGems melalui pemberian insentif RM300 seorang bagi perkahwinan pertama.
Sejumlah RM550,603 diperuntukkan bagi tahun 2019/2020 dengan anggaran 1,500 belia berumur 40 tahun ke bawah akan mendapat manfaat.
Pasangan perlu mengikuti kursus yang menekankan aspek pengurusan kewangan, emosi dan kemahiran keibu bapaan bagi memenuhi keperluan ilmu rumah tangga.
-NAZ