
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Mahyudin Abdul Rani (Daerah Timur Laut)
GEORGETOWN, 17 Feb (Malaysiaaktif) – Karnival Info Rakyat anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia Pulau Pinang telah berlangsung selama tiga hari bermula 13 dan berakhir 15 Februari lalu di Menara Komtar, di sini.
Menurut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Mohd Ali Sebran, program bertujuan untuk bertemu masyarakat bagi menyalurkan maklumat serta insentif dan manfaat yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi di samping memberi peluang kepada pengunjung mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang telah disediakan.
“Slot riadah keluarga juga boleh didapati di karnival tersebut dengan menyertai pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan bintang patriotik bagi dewasa dan pertandingan ‘e-games’ bagi remaja.
“Turut diadakan simbolik perlancaran QR kod ‘Facebook’ Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang yang mengandungi maklumat sahih, semasa dan terkini dengan pengguna hanya perlu mengimbas kod tersebut bagi mendapatkan maklumat,” katanya ketika merasmikan program tersebut, di sini kelmarin.
Pelbagai penglibatan kaunter pameran dan kaunter perkhidmatan dari agensi kerajaan dan swasta mendapat sambutan pengunjung yang hadir di karnival tersebut dengan hampir 20 agensi yang telah mengambil bahagian pada karnival tersebut seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Perangkaan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (kaunter i-Sejahtera) dan beberapa agensi lain.
Menurut Mohd Ali, program ini dilihat sebagai ruang bagi mempromosikan usaha-usaha yang telah dilakukan untuk rakyat secara umumnya.
“Secara dasarnya karnival ini merupakan salah satu platform yang membina jaringan hubungan dan interaksi di peringkat yang lebih tinggi iaitu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta agensi-agensi kerajaan mahupun swasta dalam menyalurkan maklumat yang lebih jelas kepada masyarakat.
-ii-