
PUTRAJAYA, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 28 lagi individu disahkan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-19 di negara ini sehingga 12 tengah hari semalam sebanyak 83 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 65 orang adalah warganegara Malaysia, China (15), dan tiga yang lain masing-masing warganegara Amerika Syarikat, Jepun serta Itali.
“Kesemua kes ini telah dikesan untuk rawatan selanjutnya. Kontak-kontak rapat kes ini juga sedang dikenal pasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 956 kontak rapat telah dikenal pasti dan daripada jumlah itu, 258 kontak rapat kepada kluster yang berkaitan dengan kes ke-26 telah dikesan dan diambil sampel.
“Daripada kluster ini, 18 orang telah disahkan positif COVID-19, 70 orang adalah negatif namun begitu, mereka diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari. Seramai 170 orang lagi telah berjaya dikesan dan masih menunggu keputusan makmal,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan kes ke-24 yang positif COVID-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan discaj daripada wad Hospital Kuala Lumpur.
“Kes ini telah berjaya dirawat dengan semua kontak rapat kes ini telah berjaya dikesan dan penularan COVID-19 bagi kluster in telah berjaya dibendung. Ini menjadikan 23 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dan telah discaj daripada wad,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat diteruskan bagi mengenal pasti punca kes mendapat jangkitan bagi mencegah penularan jangkitan tersebut.
KKM telah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19.
Justeru, katanya KKM akan sentiasa melindungi maklumat peribadi pesakit dan terus menyampaikan maklumat penting terutama yang relevan bagi kepentingan kesihatan awam.
Menurutnya, berdasarkan penilaian KKM sehingga hari ini, situasi jangkitan COVID-19 kini masih lagi dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal.
“Sehubungan itu, orang awam diminta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KKM bagi proses siasatan, pengesanan kontak rapat dan rawatan kepada pesakit.
“Kontak rapat kepada kes yang disahkan positif akan dikenal pasti oleh pihak KKM melalui pasukan kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah dan mereka yang dikenal pasti akan dihubungi untuk siasatan dan pemeriksaan,” katanya.
-SH