Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID-19 ; Lima Kes Kematian Direkodkan Hari Ini

By 2 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM

PUTRAJAYA, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Lima kes kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa maut akibat wabak COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 50 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham, berkata kes kematian ke-50 melibatkan seorang lelaki berumur 69 tahun yang telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada hari ini.

“Kesemua mangsa yang direkodkan hari ini adalah lelaki berusia lingkungan 37 hingga 85 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit yang pelbagai,” katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dr Noor Hisham turut menyeru kepada masyarakat untuk menjaga kesihatan dengan melakukan beberapa aktiviti sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlangsung.

“KKM prihatin dengan keadaan semasa berikutan PKP yang mungkin boleh mengakibatkan orang ramai mengalami pelbagai emosi seperti kerisauan, panik, sedih dan murung.

“Antara perkara yang boleh dilakukan adalah elakkan bersendirian dan kongsi perasaan anda dengan seseorang yang dipercayai, saling memberi kata-kata positif kepada diri sendiri, ahli keluarga dan rakan serta saling berhubung dan berinteraksi dengan orang tersayang dan rakan rapat.

“Orang ramai turut boleh beribadat mengikut kepercayaan masing-masing, mengamalkan teknik relaksasi, lakukan aktiviti fizikal di rumah dan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda