
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 7 April (Malaysiaaktif) –Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Seberang Perai Tengah melaksanakan program sanitasi awam bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di daerah ini.
Ketua Zon 3 PP Seberang Perai Tengah, Amirul Abd Aziz, berkata seramai 15 anggota bomba yang diketuai oleh Balai Bomba Perai terlibat di setiap operasi dan ia merupakan usaha kerajaan untuk menghentikan penularan virus COVID-19.
“Terdapat beberapa lokasi tumpuan yang dipilih seperti Pasar Awam Bukit Mertajam, Pasar Awam Berapit, Pasar Awam Sri Delima Juru serta Pasar Awam Taman Selamat kerana ianya merupakan kawasan tumpuan orang ramai dan perlu diberi perhatian khusus.
“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memberikan kerjasama yang baik dalam menentukan lokasi serta memberi maklumat yang diperlukan bagi melancarkan perjalanan operasi ini selain dari memberi pemakluman awal kepada orang ramai agar memberi kerjasama sepanjang operasi ini diadakan,” katanya yang ditemui semasa proses nyah cemar dilakukan, di sini semalam.
Menurut Amirul, sehingga kini tiada arahan untuk menutup sepenuhnya sebarang urusan harian di lokasi-lokasi tersebut dan sebarang urusan boleh diteruskan mengikut kaedah serta langkah pencegahan yang telah ditetapkan.
“Langkah ini akan diperluaskan di premis-premis perniagaan lain sekiranya diperlukan demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat,” katanya lagi.
-ii-