Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PKP Bukan Halangan Bersedekah

By 12 April 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian virus pandemik Covid-19 bukan halangan kepada Restoran Syed Nabi di Prima Gombak, di sini untuk meneruskan amalan bersedekah.

Pemiliknya, Syed Riaz Syed Nabi, berkata hari ini restorannya mengagihkan bungkusan lima keping roti canai secara percuma sebagai memperingati pemergian ayahnya, Syed Nabi Syed Kassim yang meninggal dunia empat tahun lalu.

“Setiap tahun saya akan memperingati pemergian ibu bapa dengan bersedekah melalui pemberian roti canai percuma kepada pelanggan yang makan di restoran ini.

“Namun, disebabkan rakyat Malaysia masih menjalani perintah PKP ketika ini, kami mengambil kaedah membungkus untuk dibawa pulang makan bersama ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, seperti tahun sebelumnya setiap pelanggan yang datang akan diberikan roti canai percuma dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

Pekerja Restoran Syed Nabi sedang menyiapkan roti canai untuk diagihkan kepada orang ramai secara percuma.

Pekerja Restoran Syed Nabi sedang menyiapkan roti canai untuk diagihkan kepada orang ramai secara percuma.

“Seawal jam 8 pagi orang telah mula beratur bagi mendapatkan makanan percuma itu yang hebahannya mula dibuat malam tadi.

“Disebabkan sekarang masih tidak boleh makan di restoran jadi saya berikan roti canai percuma itu sebanyak lima keping bagi setiap pelanggan dari jam 10 pagi hingga jam 12 tangahari.

“Alhamdullah, ini saja cara saya untuk berkongsi rezeki tambahan pula ketika PKP ini, sekurang-kurangnya membantu mereka yang mempunyai keluarga besar untuk kos sarapan pagi,” katanya.

Katanya, beliau menganggarkan jumlah roti canai yang diedarkan lebih kuramg 1,000 keping melibatkan kos lebih kurang RM1,000 termasuk kos upah, membungkus dan penyediaan kuah.

“Restoran Syed Nabi juga tidak ketinggalan turut serta memberikan sumbangan sepanjang PKP ini termasuk agihan makanan kepada petugas barisan hadapan dan bantuan makanan kepada golongan memerlukan.

“Pihak kami tidak mengenakan sebarang bayaran kepada petugas barisan hadapan terutama pasukan polis yang membungkus makanan di Restoran Syed Nabi sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Baru-baru ini saya bersama badan bukan kerajaan turut terlibat dalam misi bantuan makanan ke Pulau Besar, Melaka untuk hampir 100 penduduk,” ujarnya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda