
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Seluruh anggota baharu Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Labuan bersedia menggalas amanah untuk menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan.
Menurut Pengerusi MPPWP Zon Labuan yang baharu, Mohd Dzulfaizal Ab Manan, tugasan dan amanah tersebut bukan suatu yang mudah serta satu ujian kepada mereka.
“Tugas dan kaedah pelaksanaan MPPWP mungkin berbeza kali ini khusunya pada pasca wabak COVID-19, namun harapan kami adalah semua pihak sama-sama membantu serta saling melengkapi agar apa sahaja usaha kerajaan akan dapat disampaikan serta diterjemah dengan tindakan-tindakan kepada rakyat.
“Rakyat juga akan dapat memberikan kerjasama dan komitmen dalam membantu melaksanakan dasar-dasar kerajaan,” katanya selepas menerima Watikah Pelantikan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, petang semalam.

Mohd Dzulfaizal (dua dari kiri) menerima Watikah Pelantikan Pengerusi MPPWP Zon Labuan yang disampaikan Annuar.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk dengan ketua-ketua Kampung sedia ada.
“Kita di Labuan tiada masalah walaupun MPPWP baharu tetapi kita boleh bekerjasama dengan ketua kampung yang lama, yang penting adalah untuk kita melihat kepentingan Labuan.
“Kita perlu melebihi aspirasi individu atau kumpulan untuk kita jadikan Labuan ini satu tempat yang lebih makmur dan sejahtera di masa hadapan,” katanya.
Selain beliau, antara yang menerima watikah pelantikan adalah Abdul Rahim Mohd Salleh (Pengerusi Sub Zon 1), Chew Chin Hui (Pengerusi Sub Zon 2), Omar Masir (Pengerusi Sub Zon 3), Ahmad Junid@Junit Mohd Aling (Pengerusi Sub Zon 4) dan Fadillah Eddy Abdul Khalid (Pengerusi Sub Zon 5).
Sementara itu, Annuar berkata MPPWP selaku penghubung di antara kerajaan dan rakyat perlu menyalurkan maklumat, maklum balas, aduan, masalah, permintaan atau keperluan penduduk kepada Perbadanan Labuan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Hasrat kerajaan untuk mewujudkan struktur komuniti Wilayah Persekutuan yang mampu mengawal selia masyarakat setempat dapat dilaksanakan melalui MPPWP ini.
“Diharapkan barisan MPPWP yang baharu ini sentiasa bekerjasama dan berganding bahu dengan pihak kerajaan serta melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti bagi memastikan semua inisiatif dan bantuan kerajaan dapat diterima dan difahami dengan jelas oleh rakyat,” katanya.
-SH