Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahMelaka

PMM Terima Geran Penyelidikan TARGS Berjumlah RM76,000

By 23 Jun 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rozer Masudin/PMM

MERLIMAU, 23 Jun (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) menerima geran berjumlah RM76,000 bagi pembangunan projek Development of PLC Trainer for Photovoltaic Tracking, Switching and Monitoring System bagi pembiayaan sistem kawalan terhadap penjanaan kuasa institut berkenaan.

Menurut Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal, sejak 2018 sehingga kini, PMM telah menerima empat dana geran TVET Applied Research Grant Scheme (TARGS) dengan jumlah terkumpul RM366,200.

“Alhamdulillah, PMM antara Politeknik di Malaysia yang sentiasa mendapat tempat bagi bersaing mendapatkan geran penyelidikan bagi kategori TARGS seumpama ini dan saya berharap ia akan berterusan sehingga bila-bila,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Penyelidik ini Dr Normazlina Mat Isa, berkata kejayaan memperolehi geran ini merupakan hasil usaha keras bersama dua lagi ahli iaitu Haryani Hassan dan Shafura Shariff yang merupakan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, PMM.

“Projek ini sebenarnya berkenaan pembinaan sistem kawalan terhadap penjanaan kuasa elektrik berasaskan solar photovoltaic yang mana solar ini merupakan salah satu sumber tenaga boleh diperbaharui yang dapat menjanakan kuasa elektrik.

“Dengan adanya cadangan reka bentuk kawalan berasaskan Kawalan Logik Boleh Diaturcara (PLC) ia akan lebih dapat mengoptimumkan kecekapan penjanaan kuasa elektrik” katanya.

Tambah Normazalina, beliau berharap agar projek berkumpulan ini akan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pertengahan tahun 2021 sekali gus dapat membantu keperluan Pengajaran dan Pembelajaran bagi modul Automation and Programmable Logic Control, Jabatan Kejuruteraan Elektrik.

“Saya berharap ini juga memberi momentum terbaik buat saya yang baharu sahaja menamatkan pengajian pada peringkat ijazah kedoktoran pada tahun 2019 yang lalu,” katanya ketika ditemui sejurus majlis penyerahan selesai.

-SH

Tinggalkan komen anda