
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/Air Selangor
SHAH ALAM, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 14 Julai ini.
Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor, Ir Abas Abdullah, berkata gangguan berkenaan berikutan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) akan dihenti tugas sementara untuk kerja-kerja penambahbaikan dan penggantian aset kritikal.
“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air adalah berbeza mengikut kawasan yang terjejas dan bergantung kepada lokasi premis pelanggan.
“Air Selangor menjangkakan bahawa LRA SSP3 akan beroperasi semula dan menyalurkan bekalan air kepada para pelanggan pada 15 Julai (9 pagi).
“Justeru, Air Selangor menjangkakan 48 peratus daripada keseluruhan kawasan yang terlibat akan mula menerima bekalan air pada 16 Julai (9 pagi),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abas berkata, pemulihan bekalan air dijangka mencapai tahap 80 peratus pada 17 Julai (9 pagi) dan pulih sepenuhnya di semua kawasan yang terlibat jam 5 petang.
“Air Selangor akan menggerakkan sebanyak 91 lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
“Bantuan bekalan air melalui lori tangki ke premis pelanggan atau kawasan perumahan hanya akan bermula pada 16 Julai.
“Air Selangor ingin menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya akan membuka lapan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan menyediakan enam Pili Air Awam mulai 16 hingga 17 Julai untuk kemudahan pelanggan yang memerlukan bekalan air.
“Senarai lengkap kawasan-kawasan terjejas, lokasi PKS, Pili Air Awam dan Stesen Pengisian Air Setempat diakses melalui saluran rasmi media sosial, laman sesawang serta aplikasi telefon pintar Air Selangor.
“Pelaksanaan kerja-kerja penggantian dan penambahbaikan aset kritikal di LRA SSP3 ini akan membolehkan loji beroperasi dengan lebih cekap dan memastikan semua peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya.
-NAZ