
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Alor Setar)
ALOR SETAR, 13 Jul (Malaysiaaktif) – Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) merupakan hala tuju baharu ekonomi yang telah dirancang bagi meneruskan agenda pembangunan negara.
Dalam memastikan objektif wawasan ini tercapai, tiga agensi utama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Yayasan Peneraju dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) dilantik bagi menjadi penggerak dalam melaksanakan WKB 2030 ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, berkata pelantikan ini adalah bagi memastikan inisiatif WKB 2030 mencapai objektif yang digariskan, memantapkan sinergi supaya inisiatif WKB dapat dilaksanakan segera dan mengenalpasti projek-projek yang boleh meningkatkan taraf sosio-ekonomi kumpulan B40.
“Seperti contohnya, SEPADU memainkan peranan dalam membantu meningkatkan pelaburan dan penguasaan pasaran usahawan, pengusaha mahupun pemain industri terutama bumiputera dalam sektor strategik yang bernilai tinggi agar dapat merapatkan jurang pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan supaya pengagihan ekonomi lebih adil dan inklusif.
“Agensi-agensi ini berperanan bagi memantau pelaksanaan projek, program atau inisiatif kerajaan yang menjurus kepada pencapaian matlamat WKP 2030,” katanya yang ditemui sempena Sesi Libat Urus di Antara SEPADU, TERAJU, Yayasan Peneraju dan Agensi Kerajaan, NGO, Koperasi Negeri Kedah, di sini semalam.
Menurut Redzuan, TERAJU diberi mandat sebagai unit strategik yang berperanan meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara secara mampan.
“Sejak 2012, TERAJU telah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Wilayah Utara (NCIA) dan berkerjasama bersama agensi-agensi tempatan serta institusi pengajian tinggi bagi memastikan agenda bumiputera di negeri-negeri koridor utara dilaksanakan dengan berkesan.
“Di Negeri Kedah sahaja, TERAJU telah mencipta nilai pelaburan sebanyak RM517.64 juta, menyalurkan bantuan bernilai RM136.7 juta kepada komuniti usahawan bumiputera, memanfaatkan 472 penerima termasuk syarikat dan usahawan, serta telah mewujudkan 3,096 peluang pekerjaan,” katanya.
Redzuan turut mengulas penyertaan Yayasan Peneraju dalam pelaksanaan WKB 2030 ini adalah untuk mengukuhkan pembinaan keupayaan bumiputera secara sejagat dan berterusan.
“Antara mandat yang diamanahkan kepada Yayasan Peneraju termasuklah meningkatkan kualiti, kuantiti dan keberkesanan bakat-bakat bumiputera sejajar dengan usaha menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, pensijilan professional dan vokasional.
“Antara program-program Yayasan Peneraju ialah Peneraju Tunas, Peneraju Skil Iltizam (Zero to Hero), Peneraju Skill (Mahir) dan Peneraju Profesional. Dengan adanya sesi libat urus ini, pemantapan sinergi di antara pihak swasta iaitu usahawan, pengusaha, pemain industri dan pihak awam seperti badan-badan kerajaan dapat dicapai,” tambahnya.
-SH