
Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Acara perbarisan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan digantikan dengan program lain berbentuk simbolik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata keputusan itu dibuat ekoran negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang kini memasuki peringkat Pemulihan (PKPP) selain ancaman penularan pandemik COVID-19 masih wujud.
“Walaupun tanpa perbarisan, masih ada satuĀ dua aktiviti yang akan diadakan pada 31 Ogos, yang boleh dianggap sebagai simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengumumkannya dengan lebih mendalam buat masa iniĀ kerana ia masih bergantung kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kit Permulaan Hospital 2020Ā Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (Pesona) yang turut dihadiri Pengerusinya, Wan Shahriza Wan Ab Rahman di siniĀ hari ini.
Saifuddin juga berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menayangkan program khas Hari Kebangsaan pada pagi 31 Ogos supaya pengisian sambutan masih wujud meskipun tidak meriah seperti sebelum ini.
Pada 8 Julai lalu, Menteri Kanan (kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tidak adaĀ perbarisan atau perhimpunan dijadualkan berlangsung pada sambutan Hari Kebangsaan setakat iniĀ kerana acara itu berskala besar dan melibatkan ribuan peserta.
Mengulas perkembangan berkaitan, Saifuddin turut menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan bendera Malaysia selepas pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mulai Selasa iniĀ sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept depan.
Wan Shahriza pula berkata kit permulaan itu mengandungi kelengkapan bagi pesakit yang melakukan rawatan kanser di hospital seperti termometer, tuala, selimut, pembasmi kuman, set pembersihan diri dan pelitup muka.
Beliau berkata sebanyak 300 kit permulaan hospital telah disediakan hasil kutipan dana menerusi laman Facebook persatuan itu sejak tiga bulan lalu, dengan 60 pesakit kanser berusia setahun hingga 20 tahun menerimanya hari ini.
— BERNAMA