Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMANegeri Sembilan

Masyarakat Prihatin Menolak Penyalahgunaan Dadah

By 20 September 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaharudin Daud@Abu Hassan (Kuala Pilah)

KUALA PILAH, 20 Sep (Malaysiaaktif) – Kira-kira 300 orang peserta telah menyertai Program Merdeka Challenge 2020 ‘GO Malaysia’ anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Pilah bersama rakan strategik antaranya Majlis Keselamatan Negara Negeri Sembilan dan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Pilah sempena Sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Pilah, Ahmad Syafiq Amin,  menegaskan bahawa kerjasama rakan strategik dalam memastikan setiap maklumat, aktiviti dan tindakan setiap agensi adalah amat perlu terutamanya yang melibatkan hal-hal keselamatan negara.

“Program sebegini dapat membantu dalam mengeratkan hubungan antara agensi sama ada dalam perkara formal dan sebaliknya,” ujarnya semasa berucap merasmikan progam.

Tambah Syafiq, peranan masyarakat juga amat penting dalam menyokong dan membantu setiap aktiviti dan gerak kerja agensi-agensi yang terlibat, serta AADK turut memerlukan gabungan masyarakat dan agensi kerajaan dalam membanteras aktiviti tidak sihat ini.

Menurut Ketua AADK Daerah Kuala Pilah, Roszita Rosli, pihaknya mengharapkan agar masyarakat terus menyokong usaha dan perancangan AADK dalam membanteras salah guna dadah dalam masyarakat.

“Sokongan yang diperlukan termasuklah memberi bantuan dan sokongan moral kepada para klien AADK yang ingin keluar dari ketagihan dan penyalahgunaan dadah,” ujarnya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah MKN Negeri Sembilan, Rezza Khazrin Kaman, berkata kemerdekaan negara tidak bererti jika masih terdapat anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara terutamanya dengan kehadiran dadah-dadah sintetik.

“Kehadiran dadah yang diolah dalam bentuk makanan merupakan satu cabaran baru bagi pihak berkuasa dalam usaha memerangi kegiatan ini, kami risau memandangkan sasaran golongan ini tidak hanya lagi kepada belia malahan cuba menerobos golongan kanak-kanak,” katanya.

Beliau turut berharap agar para ibu bapa dapat sentiasa memerhatikan tingkah laku anak-anak  serta aktiviti yang melibatkan semua peringkat masyarakat perlu diteruskan selaras dengan wawasan membentuk masyarakat yang prihatin.

-AK

Tinggalkan komen anda