
Laporan/foto: Amirul Azim Othman (Melaka)/Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Melaka
MELAKA, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Sebanyak 2,562 kes demam denggi dengan lapan kematian direkodkan di negeri ini dalam tempoh 1 Januari hingga 10 November lalu, kata Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Rahmad Mariman.
“Daripada jumlah itu, 1733 kes direkodkan di Melaka Tengah, 450 kes di Jasin dan 379 di Alor Gajah, manakala 15 lokaliti titik panas wabak denggi dikenal pasti di sekitar negeri pada tahun ini,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dalam hantaran di laman media sosial Facebook telah mengambil inisiatif bagi memerangi wabak denggi ini dengan memperkenalkan kempen #1jamsetiapsabtu.
“Kempen ini dilancarkan bagi menggalakkan orang ramai bersama-sama berganding bahu mencegah wabak denggi yang semakin membimbangkan.
“Pelbagai hadiah menarik yang merupakan peralatan elektrik boleh dimenangi oleh warga Melaka dengan mengikuti beberapa langkah mudah untuk menyertai kempen ini,” katanya.
Menurut Rahmad, langkah pertama warga Melaka haruslah mengajak ahli keluarga untuk menyertai kempen ini yang turut dikenali sebagai Kempen Swafoto dan Menang.
“Seterusnya mereka perlu mengambil gambar swafoto sebelum dan selepas aktiviti mereka mengemas kawasan rumah, serta proses musnahkan tempat pembiakan nyamuk.
“Selepas selesai kerja pemusnahan pembiakan nyamuk, mereka harus memuatnaik gambar sebelum dan selepas di ‘Facebook‘ masing-masing dengan tanda pagar #1jamsetiapsabtu dan #KitaBersihRumahKita serta tag ‘Facebook’ Jabatan Kesihatan Melaka dan Melaka Sihat,” katanya.
Gambar menarik pilihan juri dengan jumlah ‘like’ tertinggi berpeluang memenangi hadiah yang ditawarkan, kempen bakal berakhir pada 30 November 2020.
Sesiapa yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 06-2356999 (Jabatan Kesihatan Negeri Melaka).
-KN