Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeMAPutrajaya

AMM Mahu Ekonomi APEC Perkukuh Solidariti, Tumpu Akses Vaksin COVID-19

By 18 November 2020Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Mesyuarat Menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (AMM) menggesa supaya kalangan ekonomi gagasan itu memperkukuh solidariti bagi memupuk pertumbuhan berkualiti dan mempertingkat daya tahan ke arah pemulihan ekonomi yang lebih memberangsangkan.

Ini termasuk keperluan melaksanakan tindakan bersepadu dalam usaha memastikan akses lebih adil terhadap vaksin COVID-19.

Kalangan menteri-menteri terbabit turut menegaskan sokongan mereka terhadap Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta menekankan bahawa sistem perdagangan pelbagai hala berteraskan peraturan adalah teras bagi meningkatkan kebolehjangkaan pasaran dan keyakinan perniagaan.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempengerusikan mesyuarat AMM secara maya pada 16 November lepas, juga menyifatkan pandemik COVID-19 itu sebagai krisis ekonomi paling menjejaskan dalam zaman moden.

“Kita perlu realisitik dan pragmatik dalam menangani situasi pada masa ini. Walaupun usaha memerangi pandemik itu kekal menjadi keutamaan semua pihak, aspek pemulihan ekonomi juga penting dan memerlukan tumpuan serupa.

“Oleh kerana impaknya terhadap ekonomi terbukti buruk, kalangan anggota ekonomi APEC perlu menjalin kerjasama lebih erat dan mengenal pasti penyelesaian jangka panjang serta mampan yang tidak hanya bertujuan menangani keadaan semasa, tetapi terhadap keadaan luar jangka di masa depan yang boleh memberi impak dari segi skala global,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Azmin berkata AMM turut mengambil maklum bahawa naratif perdagangan dan pelaburan itu perlu dipertingkat dan melangkaui konsep konvensional “demi manfaat kepada rakyat.

“Beliau juga mengakui wujudnya gesaan lebih ketara pada masa ini mengenai keperluan kerangka ekonomi global baharu yang mengambil kira kesan agihan pertumbuhan terhadap kemakmuran rakyat.

“Ini menjadi lebih mendesak sekarang ketika Bank Dunia menganggarkan sebanyak 150 juta penduduk lagi akan dihimpit kemiskinan melampau akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Selain itu, beliau berkata AMM turut menegaskan kepentingan untuk saling bekerjasama secara erat bagi memanfaatkan teknologi terkini, termasuk meneroka kelebihan transformasi digital membabitkan kemudahan pembukaan semula aktiviti ekonomi khususnya bagi faedah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, golongan wanita, muda serta kumpulan rentan atau mudah terjejas.

“Gesaan utama bagi tindakan AMM membabitkan keperluan untuk ekonomi-ekonomi APEC untuk bersatu dan bersama-sama memastikan akses lebih adil bagi vaksin COVID-19 secara selamat, efektif dan berpatutan.

“Malah, kita perlu merujuk vaksin itu sebagai barangan awam yang kritikal bagi melindungi kesihatan,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda