
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Perbadanan Labuan (PL) bakal menaik taraf beberapa kawasan penjaja kecil di pulau ini bagi meningkatkan pendapatan penjaja tempatan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PL Dr. Fary Akmal Osman, dua kawasan penjaja di Kawasan Kampung Patau-Patau dan Kampung Layang-Layangan akan dinaik taraf untuk memberi keselesaan kepada penjaja dan pengunjung.
“Bagi kawasan Layangan sebanyak sembilan peniaga akan terlibat dan dianggarkan kos sebanyak RM50 ribu akan digunakan, sementara di Patau-Patau terdapat 15 penjaja akan dibantu untuk mendapatkan bekalan air bersih dan anggaran kos sekitar RM80 ribu akan dibelanjakan untuk menaik taraf kedua-dua kawasan ini agar mereka boleh tingkatkan pendapatan disamping memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga yang ditimpa bencana di Kampung Nagalang dan Kampung Ganggarak semalam.
Sementara itu, kawasan Selera Manikar katanya juga akan dinaik taraf agar dapat menjadi tarikan pelancong domestik.

Bashir (tengah), Fary (tiga dari kiri) dan Hamir (tiga dari kanan) sempat melawat salah satu kawasan penjaja yang akan dinaik taraf.
“Kita ingin bangunkan kawasan tersebut sebagai kawasan pelancongan tempatan agar kawasan itu boleh dijadikan satu lokasi yang boleh menjalankan aktiviti lain seperti perkelahan, majlis-majlis tertentu supaya para peniaga di situ boleh meningkatkan lagi ekonomi mereka.
“Selain itu kita juga bersama pihak Jabatan Kerja Raya sedang mengenal pasti satu kawasan lapang di jalan pesisir pantai Kampung Nagalang yang sedang dalam pembinaan agar kita boleh bangunkan satu tempat untuk orang ramai meletakkan kenderaan dan menikmati pemandangan indah berhadapan tanah besar sabah,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyeru orang ramai agar berlapang dada dengan peluang perniagaan yang diberi PL kepada warga Labuan terutamanya bagi mereka yang ingin berniaga di kawasan kampung.
“Tidak timbul isu peluang perniagaan yang kita sediakan akan memberi saingan kepada peniaga di kawasan bandar kerana kebanyakan penjaja hanya berniaga kecil-kecilan dan kita perlu memberi peluang untuk orang lain mencari rezeki pada masa pandemic COVID-19 yang mencabar ini,” tambahnya.
Hadir sama dalam lawatan itu adalah Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PL Senator Datuk Bashir Alias, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PL Hamir Zahari dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Labuan Mohd Dzulfaizal Ab Manan.
-SH