
Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,247 kes baharu COVID-19 dan tiga kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 101,565 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 18,576 kes.
Katanya daripada kes baharu, 461 kes direkodkan di Selangor.
“Daripada jumlah itu, 309 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya mengenai perkembangan situasi semasa COVID-19 semalam.
Beliau berkata Sabah merekodkan jumlah kedua tertinggi iaitu 225 kes diikuti Johor (205 kes), Kuala Lumpur (140), Negeri Sembilan (89), Perak (55), Pulau Pinang (25), Melaka (14), Pahang (11), Labuan (8), Putrajaya (7), Kelantan (4) dan Sarawak (3).
— BERNAMA