
Oleh Aneta Ahmad (Kemaman)
KEMAMAN, 23 Nov (Malaysiaaktif) — Komuniti 1Malaysia (K1M) kini dilihat sebagai platform penting untuk penyatuan masyarakat selain berperanan sebagai agen pengubah minda yang paling dekat dengan akar umbi.
Sehubungan itu, Sabtu lepas diadakan Program Semarak Komuniti 1Malaysia Peringkat Daerah Kemaman 2015 dengan penyertaan lebih 1,000 orang dari 18 K1M.
Tahun ini K1M Mukim Pasir Semut dipilih sebagai tuan rumah dan program ini merupakan kemuncak bagi meraikan seluruh ahli K1M yang telah menjalankan pelbagai program sepanjang tahun.
Pelbagai acara disediakan sepanjang majlis, termasuk Senamrobik, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Keluarga K1M, Pertandingan Bintang Patriotik K1M, Pertandingan Sirih Junjung K1M, Derma Darah K1M serta pameran oleh agensi kerajaan dan swasta.
Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Kemaman bersama K1M Daerah Kemaman ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.