
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Pulau Pinang)
GEORGETOWN, 14 Jan (Malaysiaaktif)– Jabatan Penerangan (JaPen) Malaysia Negeri Pulau Pinang terus mengambil inisiatif dengan membuat hebahan unit bergerak berkaitan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi Info on Wheels (IoW) di seluruh negeri ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Pengarah JaPen Negeri Pulau Pinang Dr. Haniff Hassan, berkata inisiatif itu adalah satu daripada perkhidmatan agensi JaPen untuk membantu usaha menyampaikan maklumat serta saranan kerajaan kepada orang ramai.
“Kenderaan Unit Bergerak JaPen di kelima-lima daerah telah ditugaskan untuk menyampaikan maklumat hebahan PKP 2.0 yang dikuatkuasakan bermula 13 sehingga 26 Januari ini.

Unit Bergerak IOW JaPen di kelima-lima daerah dalam negeri Pulau Pinang telah ditugaskan bermula 13 sehingga 26 Januari ini.
“Hebahan dilaksanakan melalui pembesar suara di beberapa tempat yang menjadi tumpuan masyarakat ramai seperti kawasan perniagaan, pasar awam, kompleks membeli belah, kawasan perindustrian, perkampungan, taman rekreasi dan kawasan perumahan.
“Pihak kami berharap orang ramai tidak memandang remeh arahan yang telah dikeluarkan kerajaan untuk sentiasa berada di rumah kerana perintah ini adalah usaha bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19 daripada terus merebak,” katanya semasa hebahan JaPen bergerak di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Permatang Langsat.
Beliau berkata, usaha hebahan ini mendapat reaksi yang baik daripada orang awam yang dilihat terus disiplin mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
“Di Daerah Timur Laut (DTL) pula, pemantauan di pasar-pasar awam dan kedai-kedai runcit sekitar mendapati terdapat ramai pengunjung yang membeli barang keperluan sekaligus menunjukkan stok bekalan makanan masih mencukupi untuk penduduk kawasan sekitar,” katanya lagi.
Menurut beliau, JaPen akan terus membantu dan bekerjasama dengan pihak keselamatan negeri seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan semua rakyat di negeri itu mematuhi arahan PKP.

JaPen bekerjasama dengan pihak keselamatan negeri seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua rakyat di negeri itu mematuhi arahan PKP.
“JaPen mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan mengehadkan pergerakan di luar rumah sepanjang tempoh tersebut kecuali untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, bekalan makanan dan menjalankan tugas bagi mereka yang perlu hadir ke tempat bertugas,” katanya.
-ii-