
Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani/Suria Karim (Seberang Perai Selatan)
NIBONG TEBAL, 1 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 30 peniaga di Kompleks makanan Taman Sentosa, di hadapan sebuah pasar raya di sini telah berpindah ke Penempatan Sementara Penjaja bersebelahan Dewan Taman Sentosa untuk kerja-kerja menaik taraf kompleks baharu.
Projek penarafan Kompleks tersebut di bawah inisiatif Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah bermula pada bulan Disember tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei tahun ini.

Kompleks makanan Taman Sentosa, di hadapan Yawata di sini dinaik taraf untuk menjadi Kompleks baharu.
Peniaga kuih muih Muhd Izhar Helmi Abdul Manan, 25, berkata perniagaannya telah dijalankan sejak tujuh tahun lalu dan merupakan pendapatan utamanya.
“Saya menyambut baik langkah yang diambil oleh MBSP kerana keselesaan peniaga dan pelanggan diutamakan dengan menyediakan kemudahan yang lengkap.
“Walaupun tapak sementara yang disediakan MBSP jauh sedikit dari tapak asal namun itu tidak memberi kesan terhadap pendapatan harian yang diperolehi,” katanya.

Peniaga kuih muih, Muhd Izhar Helmi Abdul Manan, 25, menyambut baik dengan perubahan serta penaiktarafan yang dilakukan.
Malah, rata-rata peniaga yang ditemui di Penempatan Sementara Penjaja baru-baru ini menyambut baik dan berpuas hati dengan perubahan serta penaiktarafan yang dilakukan.
Salah seorang peniaga minuman Kee Sek Wing, 55, berkata kompleks makanan ini menjadi tumpuan masyarakat tempatan dengan pelbagai makanan.
“Di sini, bukan sahaja boleh dapat masakan panas, malah lauk-pauk, kuih-muih dan minuman yang disediakan menepati cita rasa pelanggan.

Seramai tiga puluh peniaga di Kompleks makanan Taman Sentosa telah berpindah ke Penempatan Sementara Penjaja bersebelahan Dewan Taman Sentosa.
“Saya berharap kompleks yang bakal dinaik taraf ini dapat dilaksana mengikut jadual yang ditetapkan dan berjalan lancar agar aktiviti perniagaan dapat diteruskan,” katanya.
-ii-