
Laporan/foto: Rozer Masudin (PMM)
MERLIMAU, 5 Feb (Malaysiaaktif) – Politeknik Merlimau (PMM) sekali lagi membuktikan bahawa pensyarahnya sentiasa berada di landasan tepat dalam kepakaran masing-masing apabila menggondol dua perak dan satu gangsa menerusi penyertaan para pensyarah Jabatan Perdagangan bersempena International Multidisciplinary Innovation Competition (IMIC) 2021 yang berlangsung secara dalam talian.
Menurut Pengarahnya Mohd Hatta Zainal, kemenangan tersebut menerusi “Aplikasi Blippar Dalam Menjana Formula Matematik” dan “Reflexthou: Meningkatkan Keyakinan Diri Dalam Pembentangan” yang berjaya memenangi pingat perak.
“PMM turut memenangi pingat gangsa menerusi inovasinya “Innovation of Teaching and Learning on Outcome Based Education for Organizational Behaviour” yang dikendalikan Sabariah Abd. Rahman.
“Budaya inovasi sudah sinonim dalam diri para pensyarah PMM kerana ia merupakan salah satu elemen Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Politeknik sejak sekian lama.
“Malah pada setiap semester, PMM menganjurkan hari inovasi pada peringkat jabatan dan politeknik bagi meraikan idea dan kreativiti para pensyarah dan pelajar dalam bidang masing-masing sehinggakan telah ada produk inovasi yang dipasarkan kepada orang awam,” katanya ketika dihubungi, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, pensyarah yang memenangi pertandingan tersebut Nurol Aleyzan Ghazali, anugerah pingat perak yang dimenangi tersebut hasil berkat usaha bersama para ahli kumpulan beliau kerana melihat inovasi tersebut sangat membantu para pelajar dalam meningkatkan keyakinan diri.
“Inovasi Reflexthou ini amat diperlukan oleh para pelajar sebagai satu kaedah meningkatkan prestasi pembentangan, memotivasikan diri pelajar serta mengukuhkan kemahiran komunikasi terutamanya komunikasi semasa pembentangan Ini juga sebenarnya sedikit sebanyak membantu mereka membina keyakinan diri apabila bergelar sebagai graduan kelak.
“Saya sendiri sebagai pensyarah pada ketika dahulu juga merasai bagaimana gementarnya apabila ingin berbicara di hadapan, oleh itu, dengan adanya idea inovasi ini harapnya dapat membantu para pelajar dalam membentuk dan mengekalkan personaliti diri yang lebih berketerampilan walaupun di luar bilik kuliah,” katanya.
Selain pingat, inovasi Aplikasi Blippar Dalam Menjana Formula Matematik turut mendapat tempat ke-10 terbaik bagi kategori Best Extended Abstract dan tempat ke-15 Most-liked video presentation on Youtube manakala Reflexthou: Meningkatkan Keyakinan Diri Dalam Pembentangan pula mendapat tempat kesembilan Most-liked video presentation on Youtube.
-SH