
PUTRAJAYA, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Pembayaran interim i-Sinar kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kategori 2 melegakan banyak pihak, terutama mereka terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.
Wang pendahuluan interim KWSP berjumlah RM1,000 mula diterima pencarum sejak 25 Januari lalu secara berperingkat itu juga, dapat membantu rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup sementara menunggu kelulusan proses permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2 mereka, oleh KWSP.
Bagi Wan Rosdan Wan Ghazali, 47 tahun, wang pendahuluan itu dapat membantu beliau menguruskan keperluan anak-anaknya bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), dan bertepatan dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sehingga 18 Februari ini.
“Duit pendahuluan ini, saya gunakan untuk anak yang masih bersekolah dan anak sulung pula sedang menjalani latihan industrial (praktikal), memerlukan perbelanjaan lain.
“Pendapatan saya memang terjejas akibat COVID-19, sebab saya tidak boleh membuat tuntutan lebih masa di tempat kerja, tetapi saya tetap bersyukur masih berkerja walaupun ketika ini gaji yang diperolehi hanya gaji asas sahaja,” katanya.
Wan Rosdan yang berkerja di sektor perkilangan di Shah Alam itu juga berharap, permohonan pengeluaran KWSP bagi Kategori 2 dapat diluluskan, kerana beliau sangat memerlukan wang bagi keperluan lain.
Sementara itu ibu tunggal, Sarifah Sulaiman sangat menghargai pembayaran wang pendahuluan tersebut, kerana dapat membantunya membayar hutang yang tertunggak selain menggunakannya untuk penyediaan pembelajaran anaknya, yang bersekolah di Tingkatan Tiga.
“Saya baru bekerja semula dalam tempoh setahun, sebelum ini suri rumah sepenuh masa tetapi sebelum berkahwin saya pernah berkerja selama 14 tahun,” kata wanita berusia 48 tahun itu yang menetap di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu Muhammad Sabri Mohd Ibrahim seorang penjaga stor yang baharu berkahwin menyifatkan, wang pendahuluan itu dapat menambah duit simpanan sedia ada, untuk memulakan kehidupan baharu bersama isterinya yang tidak bekerja.
Lelaki berumur 28 tahun itu yang mencari pendapatan lebih dengan memandu Grab untuk meneruskan kelangsungan hidup, sangat menghargai wang itu kerana ia memberi sedikit kelegaan kepadanya dan isteri.
Bagi Noorhaslyana Saharudin, 25, pula berkata beliau yang mempunyai komitmen tinggi amat mengalu-ngalukan pembayaran duit pendahuluan itu, kerana ia dapat membantu keluarganya membeli barang keperluan rumah.
Beliau juga mengharapkan permohonan pengeluaran wang KWSP diluluskan bagi menyelesaikan hutang yang ada, untuk mengurangkan komitmen kewangannya ketika ini.
Setakat 4 Jan lepas, KWSP telah meluluskan 2.5 juta permohonan i-Sinar daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM 3.88 juta, sejak permohonan di bawah Kategori 1 dibuka bermula 21 Disember 2020.
Sebahagian besar daripada jumlah tersebut, seramai 1.4 juta permohonan berada di dalam kriteria Kategori 2, yang telah dibuka untuk permohonan mulai 11 Januari lalu.
— BERNAMA