Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Ihsan Johor Anjur Aktiviti Sihat Untuk Pesakit COVID-19

By 13 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nazirah Ripin/Irwan Shah (Johor)

JOHOR BAHRU, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Pertubuhan Ihsan Johor (Ihsan Johor Relief) mengajak pihak-pihak di luar sana untuk bersama-sama mengadakan aktiviti sihat bagi para pesakit COVID-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin Rawatan COVID-19 (PKRC) Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ihsan Johor Relief Farrah Faridah Baptist, beliau sangat berbesar hati jika ada pihak yang tampil untuk bekerjasama menjalankan tanggungjawab sosial korporat seperti menaja jurulatih yoga, senam aerobik dan zumba.

“Aktiviti seumpama ini bukan sahaja sebagai sokongan moral kepada para pesakit tetapi ia juga merupakan peluang terbaik untuk membantu menambah sumber pendapatan para jurulatih aktiviti-aktiviti tersebut yang terjejas berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

“Ihsan Johor Relief sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin tampil menjalankan aktiviti-aktiviti sihat bersama para pesakit COVID-19 di pusat ini,” katanya lagi ketika ditemui selepas aktiviti senam aerobik di PKRC Pasir Gudang, di sini, semalam.

Tambah beliau, mengikut perancangan pihaknya akan mengadakan aktiviti tersebut setiap hari pada masa akan datang.

“Mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai aktiviti ini boleh menghubungi talian 012-2538091 untuk keterangan lanjut,” ujarnya lagi.

PKRC Pasir Gudang mula beroperasi pada 10 Februari yang lalu di mana ia mampu menampung sehingga 1,200 orang pesakit pada satu-satu masa.

Sehingga semalam, seramai 50 orang pesakit telah di kuarantinkan di sini yang melibatkan 28 pesakit lelaki, 21 pesakit wanita dan seorang kanak-kanak.

-NI-

Tinggalkan komen anda