
Laporan/foto: Noraidah Mat Seh(Jasin)
MERLIMAU, 29 Mac (Malaysiaaktif) – Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Ahmad Hamzah, berkata Kerajaan Persekutuan telah mengambil pelbagai langkah proaktif dengan melaksanakan program-program dan strategi-strategi bagi mengekang penularan wabak ini dan dalam masa sama melindungi ekonomi supaya negara dapat terus bertahan.
“Antara usaha bagi menangani wabak ini adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Selain itu, pelbagai strategi makro dan mikro telah dilancarkan seperti PENJANA dan PERMAI dalam mengimbangi kesan-kesan pandemik ini terhadap ekonomi negara dan kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui dalam majlis Perhimpunan Penjawat Awam Daerah Jasin dan Pelancaran Program Malaysia Prihatin di Dewan MPJ Lipat Kajang Merlimau, di sini baru-baru ini.
Menurut Ahmad Hamzah, kerajaan turut melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi ke-6, Projek Strategik Memperkasakan Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan memperuntukkan sebanyak RM20 billion untuk tujuan tersebut.
“Kerajaan telah mengenal pasti lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang tahun 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, merapatkan jurang pembangunan di antara wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.
“Kerajaan Persekutuan juga telah menguatkuasakan Proklamasi Darurat yang telah diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan langkah-langkah segera dan menguatkuasa undang-undang melalui ordinan-ordinan yang berkenaan supaya urustadbir pandemik COVID-19 dapat dibuat dengan teratur dan berkesan.
“Kerajaan Persekutuan dalam hal ini berpandangan bahawa semua menteri dan timbalan menteri memberikan penerangan dan hebahan kepada rakyat mengenai usaha-usaha yang telah dan akan dibuat supaya rakyat sedar dan boleh bersama-sama dengan kerajaan untuk memulihkan negara daripada kesan-kesan pandemik COVID-19,” katanya.
-KN