
Laporan/foto: Zamrud Laili Mohd Mustap/Fong Jia Lung (Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 12 Apr (Malaysiaaktif) – Peserta dari Permatang Pauh yang mewakili daerah Seberang Perai Tengah, Khairul Aizat Yusoff, 21, dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang.
Khairul Aizat yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan pelajar semester keempat jurusan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu melahirkan rasa bersyukur kerana dinobatkan sebagai juara.
“Alhamdulilah, kejayaan ini adalah doa dan restu ibu saya, Nor Aini Husain kerana beliaulah yang banyak memberi sokongan serta dorongan kepada saya.

Khairul Aizat (kanan) bersama ibunya, Nor Aini yang dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang membawa pulang RM1,500 beserta trofi dan sijil.
“Tahniah juga diucapkan kepada Jabatan Penerangan Malaysia kerana menganjurkan program sebegini dan saya berharap program pertandingan sebegini wajar diteruskan kerana ianya bukan sahaja berilmiah malah menggalakan peserta berkomunikasi dengan baik dalam memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan di samping dapat mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui dalam pertandingan tersebut, di sebuah hotel, di sini semalam.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Darus.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Pengarah Penerangan Negeri Pulau Pinang Dr. Haniff Hassan
Seramai 11 peserta dari seluruh negeri Pulau Pinang telah layak ke peringkat akhir Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021.
-ii-