![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/04/WhatsApp-Image-2021-04-12-at-2.33.22-PM.jpeg)
Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 12 April (Malaysiaaktif) – Bazar Ramadan merupakan antara peluang yang ditunggu-tunggu oleh peniaga kecil untuk meningkatkan sumber pendapatan sepanjang bulan Ramadan.
Kebenaran berniaga pada tahun ini telah menyuntik semangat peniaga bazar Ramadan yang sebelum ini terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sumber pendapatan khususnya peniaga kecil terjejas teruk.
Seorang peniaga masakan panas, Zaitun Mahad, 37, yang telah berniaga lebih sepuluh tahun memberitahu bahawa beliau sudah melakukan beberapa persiapan untuk bazar Ramadan pada tahun ini termasuklah membeli bahan-bahan mentah.
“Tahun lepas memang ramai peniaga bazar Ramadan yang merungut dan tidak berpuas hati kerana sudah membuat persiapan dan ada yang telah berbelanja besar membeli bekalan barang namun dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Pada tahun ini saya mengguna pakai kaedah jualan secara dalam talian atau penghantaran terus ke rumah pelanggan kerana yakin saluran ini menjadi pilihan semasa orang ramai yang enggan keluar rumah dan dalam masa yang sama meningkatkan lagi hasil pendapatan,” katanya ketika ditemui di Pasar Batu Enam, di sini semalam.
Seorang peniaga kuih-muih, Zahani Sidek, 60, pula berkata beliau mampu meraih pendapatan sehingga RM300 sehari sepanjang berniaga di bazar Ramadan sebelum penularan wabak COVID-19 ini.
“Kebenaran pembukaan bazar Ramadan pada tahun ini secara tidak langsung dapat membantu semula peniaga untuk mencari pendapatan selepas melalui tempoh sukar tidak dapat berniaga pada tahun lepas.
“Kerajaan negeri diharapkan tidak membatalkan kebenaran ini pada saat-saat akhir yang boleh menyebabkan peniaga hilang punca pendapatan selain tidak mahu lagi menanggung kerugian,” katanya.
-ii-