
Laporan/foto: Nurul Saidatul Aida Sidek/ Shuhaimi Ahmad (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 28 April (Malaysiaaktif) – Seramai 17.1 juta penduduk negara ini telah dibanci setakat 27 April iaitu sebanyak 52.1 peratus daripada anggaran sebanyak 32.7 juta penduduk bermula 7 Julai 2020 dan dijangka akan berakhir pada 30 Jun 2021.
Ketua Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata Banci Malaysia 2020 mendapat sambutan baik daripada penduduk Terengganu dengan jumlah bancian sebanyak 770 ribu atau 61 peratus.
Menurut beliau yang juga Ketua Perangkawan Malaysia, Sehingga 27 April 2021 sejumlah 0.22 juta atau 72.9 peratus dari keseluruhan tempat kediaman di seluruh Negeri Terengganu telah diliputi dalam Banci Malaysia 2020.

Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin (kanan) bersama pembanci menemubual seorang penduduk di Kampung Seberang Takir.
“Manakala bagi jumlah penduduk pula, seramai 0.77 juta penduduk telah selesai dibanci dari jumlah anggaran 1.26 juta penduduk di seluruh Negeri Terengganu.
“Namun begitu, bagi respon mengikut etnik pula, etnik Cina dan India mencatatkan peratus respon yang agak rendah iaitu 27 peratus and 20 peratus masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini pagi tadi.
Katanya, bagi peringkat negara pula, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan jumlah bancian tertinggi iaitu sebanyak (101.1%).

Dr. Mohd Uzir (tengah) turun padang untuk menemubual penduduk di Kampung Seberang Takir, di sini pagi tadi.
Tambah Dr. Mohd Uzir, tujuh negeri mencatatkan kadar respon melebihi 60 peratus iaitu Putrajaya (101.1%), diikuti oleh Johor dan Perlis iaitu (74%) dan (72.5%) masing-masing, manakala Kelantan (71%), Melaka (66%), Perak (66%), dan Terengganu (61%).
Bagi negeri-negeri lain, Negeri Sembilan (58%), Pulau Pinang (56%), Selangor (51%), Kedah (48%), W.P. Labuan (41%), Pahang (40%), W.P. Kuala lumpur (40%), Sarawak (38%) dan Sabah (27%).
“Pembancian dibuat menggunakan dua kaedah iaitu secara atas talian, dan bersemuka iaitu secara lawatan rumah ke rumah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang betul.
Namun begitu, masih ada segelintir penduduk yang tidak melaksanakan tanggungjawab mereka untuk dibanci oleh kerana kekangan masa dan sebagainya,” katanya.
Oleh itu, beliau menyeru penduduk terutama di negeri ini agar dapat terus memberi kerjasama untuk menjayakan operasi pembancian ini pada jangka masa yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baharu Seberang Takir, Amran Mat Zin, 60, berkata program pembancian yang diadakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia ini sangat bagus memandangkan masih ramai penduduk kampung masih ketinggalan dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan kepada warga penduduk di sekitar Kampung Baharu Seberang Takir.
Berkongsi rasa yang sama, penduduk kampung Baharu Seberang Takir, Maznah Osman, 57, turut bersetuju dengan Amran Mat Zin kerana operasi banci yang digerakkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dapat memudahkan orang kampung terutamanya golongan warga emas untuk turut membanci.
Mereka berharap agar program ini mampu mencapai objektif yang telah digariskan dan menyeru semua penduduk di Terengganu agar dapat memberi kerjasama kepada pembanci yang telah dilantik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan segera.
-ii-