
Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)
KOTA BHARU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Festival Belia @ Hari Belia Negara (FB@HBN2026) Peringkat Negeri Kelantan yang berlangsung di AEON Mall Kota Bharu menjadi platform strategik dalam memperkasa peranan belia melalui pengisian bersifat positif, inklusif dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Antara tumpuan utama ialah Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup pengunjung dan memperlihatkan keprihatinan penganjur terhadap kebajikan rakyat.
Salah seorang pengunjung, Nur Nadiah Musaddeq, 29, berkata beliau teruja dengan penganjuran program Festival Belia kali ini.
“Pendekatan program yang santai tetapi bermakna berjaya mewujudkan ruang interaksi sihat dalam kalangan belia,” katanya ketika ditemui semalam.
Kemuncak festival diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah dan Ameng Spring, sekali gus menambah tarikan serta meninggalkan pengalaman positif kepada pengunjung.
Secara keseluruhan, festival ini dilihat mampu menjadi medium efektif dalam menyatukan belia, memperkukuh nilai sosial serta membina generasi muda yang lebih berdaya saing.
-AA-





