
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 2 Mei (Malaysiaaktif) – Pihak Zoo Negara menjangkakan kehadiran pengunjung mencecah lebih 6,000 orang pada 1 Syawal ini.
Timbalan Pengarah Zoo Negara Rosly Ahmad Lana, berkata pihaknya telah bersedia dengan bantuan pihak keselamatan agar semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa, kita dapat melalui SOP tersebut dengan bantuan pihak polis.
“Ketika Zoo Negara dibuka semula ramai pengunjung hadir namun masalah tersebut dapat diatasi dari masa ke masa.
“Cuma kita kesian juga kepada pengunjung yang terpaksa beratur sebelum dapat giliran untuk masuk ke dalam zoo,” katanya kepada media selepas Majlis Iftar Bersama Media di zoo tersebut, di sini semalam.
Mengulas dakwaan kekurangan kakitangan, Rosly berkata pihaknya menolak dakwaan demikian hingga menyebabkan haiwan-haiwan di dalam zoo tidak dijaga dengan baik.
“Maklumat itu tidak tepat, Zoo Negara tidak menghadapi masalah kakitangan malah pihak pengurusan akan menggantikan kakitangan yang berhenti dengan segera.
“Kekurangan sekarang adalah dari segi elaun mereka disebabkan dana Zoo Negara yang terhad menyebabkan tiada elaun lebih masa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau ingin berterima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang turut menyumbangkan rampasan daging bernilai jutaan ringgit.
“Daging tersebut masih dalam keadaan baik cuma tidak halal dianggarkan lapan juta tan, cukup untuk kegunaan setahun.
“Ia secara tidak langsung dapat membantu Zoo Negara menjimatkan kos pembelian daging,” jelasnya.
-RI