
Laporan/foto: Malini Md Yunos/Sapar Sutir (Rembau)
REMBAU, 10 Mei (Malaysiaaktif) – Kes COVID-19 menunjukkan trend meningkat menjelang Aidilfitri dan aktiviti pendaftaran Program Vaksinasi COVID-19 kebangsaan masih giat dijalankan pelbagai agensi bagi memastikan rakyat Malaysia mendaftar sebagai penerima vaksin.
Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pedas Perdana, Chembong mengambil inisiatif melaksanakan aktiviti mengacau bubur lambuk dan penganan sebagai tarikan membantu kempen pendaftaran vaksinasi COVID-19 mendapat sambutan baik ahli komuniti dan dilaksanakan mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Menurut Pengerusi KRT Taman Pedas Perdana Mohd Shah Pilus, 57, bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan dan membantu agensi kerajaan mendaftarkan vaksin satu program Sepakat@Komuniti telah diadakan di pusat komuniti Taman Pedas Perdana dianjurkan bersama Pejabat Penerangan Daerah Rembau dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Disebabkan arahan terbaru tidak dibenarkan aktiviti merentas negeri dan daerah menjelang Syawal dan peratusan mendaftar vaksin yang agak perlahan KRT taman ini melaksanakan aktiviti gotong royong memasak bubur lambuk dan mengacau penganan tetapi masih mematuhi SOP tanpa melibatkan perkumpulan beramai-ramai secara skala yang besar.
“Pejabat Penerangan Rembau turut bersama membuat Info on Wheels yang mana pengisian aktiviti tertumpu kepada taklimat berkaitan Pendaftaran Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan, Taklimat SOP Aidilfitri oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tazkirah Ramadan oleh YADIM di samping memberi sumbangan Kotak Rezeki kepada keluarga yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui di dewan KRT tersebut, di sini semalam.
Menurut Pengarah Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad, aktiviti Sepakat@Komuniti ini diadakan bertujuan menyampaikan maklumat berkaitan kempen semasa kerajaan selain mengeratkan hubungan komuniti dengan agensi kerajaan selain menyebarkan maklumat tentang dasar dasar kerajaan, keselamatan dan kesihatan awam.
“Terkini kerajaan sedang giat berkempen mengenai pendaftaran vaksin COVID-19 dan melalui aktiviti Sepakat@Komuniti ini kita juga membantu mereka yang masih belum mendaftar di MySejahtera samada secara atas talian atau manual,” katanya ketika berucap dalam program.
-FF