Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

PPV Dewan Seri Melati Mampu Lancarkan Proses Imunisasi di Perlis

By 27 Mei 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

PADANG BESAR, 27 Mei (Malaysiaaktif) – Dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Melati Beseri menjadikan ia PPV kedua bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang beroperasi di negeri ini selepas PPV Dewan 2020.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Tuan Azman Mohd Yusuf, PPV ini yang mula beroperasi pada 24 Mei lalu mampu memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada 400 hingga 500 orang penerima vaksin sehari.

“Golongan warga emas menjadi kumpulan pertama yang akan disuntik vaksin jenis Sinovac di PPV ini.

“Saya menyeru kepada para penerima vaksin yang telah menerima tarikh untuk divaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera atau melalui pesanan ringkas (SMS) untuk membaca dengan teliti tarikh, masa serta tempat untuk menerima suntikan vaksin agar mereka tidak tersalah lokasi berikutan negeri ini mempunyai dua tempat PPV iaitu Dewan 2020 dan Dewan Seri Melati,” katanya ketika ditemui pada pembukaan operasi PPV Dewan Melati, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, Mesyuarat Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Perlis telah bersetuju untuk menyerahkan tugasan menguruskan PPV Dewan 2020 dan Dewan Seri Melati kepada Jabatan Kesihatan Negeri yang akan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam MALAYSIA (APM), Jabatan Relawan Rakyat (RELA) dan Sukarelawan Jabatan Belia dan Sukan Malaysia.

“Pada 8 Jun nanti, PPV Dewan Warisan pula akan dibuka di mana ia mampu memberi suntikan kepada 1,000 orang penerima vaksin setiap hari.

“Bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada orang ramai, sektor swasta juga akan turut terlibat sebagai PPV secara percuma iaitu Klinik Megah, Klinik Annura serta KPJ Perlis Specialist Hospital,” ujarnya.

Azman turut memaklumkan seramai 188,200 penduduk yang berumur 18 tahun dan ke atas di negeri ini dijangka akan selesai menerima suntikan vaksin pada hujung tahun ini.

“Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaannya bergantung dengan jumlah unit vaksin yang akan diterima nanti,” ujarnya lagi.

Pengawai Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Negeri Perlis Dr. Izwana Hamzah, berkata satu PPV Khas telah diwujudkan di Hospital Tuanku Fauziah bagi proses suntikan vaksin untuk para pesakit kronik di hospital tersebut.

“Jabatan Kesihatan Negeri turut mewujudkan PPV Mobile yang mana buat masa ini ia hanya menguruskan suntikan vaksin untuk golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di beberapa institusi kebajikan masyarakat di sini.

“Setakat hari ini, seramai 22,000 orang telah menerima suntikan dos pertama iaitu 11 peratus daripada 188,200 rakyat negeri ini manakala sebanyak tujuh peratus lagi sudah melengkapkan dos kedua,” katanya.

-NI-

Tinggalkan komen anda