Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Sasar 600 Penduduk PPR Terima Suntikan Vaksin Sehari

By 21 Jun 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri/Mohd Faiz Kamarudin (Kepong/Batu)

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@ Wilayah menyasarkan seramai 600 penerima vaksin sehari bagi penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kepong.

Wakil Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 Kepong Shahdan Mohsin, berkata pemberian vaksin menggunakan trak itu akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

“Program ini dijalankan selama tiga hari dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan penduduk.

“Ini menunjukkan penduduk di kawasan ini telah mula sedar mengenai kepentingan pengambilan vaksin dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19,” katanya ketika ditemui sewaktu Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah di PPR Pekan Kepong, di sini hari ini.

Suasana pemberian vaksin di PPR Pekan Kepong yang menjalankan SOP yang ketat di tempat pemberian vaksin.

Suasana pemberian vaksin di PPR Pekan Kepong yang menjalankan SOP yang ketat di tempat pemberian vaksin.

Katanya lagi, program vaksinasi menggunakan trak yang diperkenalkan Kementerian Wilayah Persekutuan itu berupaya untuk memberi suntikan vaksin kepada tiga individu secara serentak pada satu-satu masa.

Selain PPR Pekan Kepong, kawasan yang terlibat dalam proses pemberian vaksin menerusi trak MyMedic@Wilayah pada hari ini termasuklah PPR Taman Beringin, PPR Pantai Ria, PPR Cempaka, PPR Salak Selatan dan PPR Pudu Ulu.

Dalam pada itu, wakil penduduk PPR Taman Beringin yang dikenali sebagai Eddie, berkata pihaknya turut mengambil inisiatif tambahan dengan menyediakan perkhidmatan bugi bagi kemudahan warga emas.

“Memandangkan kawasan PPR Taman Beringin ini luas dan mempunyai enam blok, maka dengan adanya buggy ini dapat melancarkan lagi urusan membawa mereka yang kurang upaya ke lokasi trak pemberian vaksin,” katanya.

Trak untuk pemberian vaksin bagi program vaksinasi bergerak Mymedic@Wilayah di PPR Beringin.

Trak untuk pemberian vaksin bagi program vaksinasi bergerak Mymedic@Wilayah di PPR Beringin.

Salah seorang penerima vaksin, Zamri Talib, 71, turut berharap agar penduduk setempat dapat memanfaatkan peluang untuk segera mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini.

“Ambillah suntikan vaksin ini, ia bukan sahaja untuk kebaikan kita malah untuk menjaga orang di sekeliling kita juga, tidak sakit pun kalau disuntik,” katanya.

-ZS

Tinggalkan komen anda