
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)/Mohd Azreen Abu Bakar (Baitumal)
KUALA PILAH, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Bagi memastikan setiap pelajar daripada kategori Asnaf di Kuala Pilah dapat mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) bermula dari 14 Jun sehingga 17 Julai 2021 ini, Pejabat Baitulmal Kuala Pilah mengambil inisiatif penyerahan peranti tablet secara pandu lalu di hadapan Pejabat Baitulmal Kuala Pilah sebagai kaedah penyerahan yang bersesuaian dengan SOP PKP 3.0 ini.
Menurut pegawai Baitulmal Daerah Kuala Pilah Mohd Azreen Abu Bakar, agihan peranti adalah khusus untuk penerima bantuan bulanan Baitulmal dari golongan fakir dan miskin di Kuala Pilah dan program yang bermula dari 22 Jun menyasarkan 40 keluarga dapat menerima peranti tablet sepanjang operasi pandu lalu ini.
“Pendekatan kami adalah untuk memastikan bantuan dapat disampaikan dengan segera memandangkan program secara bersemuka tidak dilakukan ketika ini dan kita telah menghubungi terlebih dahulu para penerima untuk memastikan keboleh beradaan mereka untuk hadir.
“Sumbangan ini menyasarkan para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu jumlah pemberian mengikut jumlah anak iaitu sebuah tablet untuk keluarga yang mempunyai kurang dari empat orang anak dan dua buah tablet untuk yang mempunyai lebih dari empat orang anak,” ujarnya ketika ditemui ketika mengedarkan bantuan tersebut, di sini kelmarin.
Tambah Mohd Azreen lagi, bantuan ini tidak hanya kepada tablet sahaja, malah setiap penerima dilengkapkan juga dengan peranti internet selama setahun dan kesemua tablet serta peranti ini mempunyai jaminan kerosakan dan penerima hanya perlu menghubungi pihak Baitulmal sekiranya terdapat masalah.
“Melalui sumbangan ini, pihak kami juga berharap ibu bapa dapat membantu anak-anak dapat mengikuti kelas PdPR dalam talian terutamanya para pelajar yang akan menduduki SPM nanti,” tambahnya.
-FF