
Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusoff/Hanif Samad (Tampin)
TAMPIN, 25 Jun (Malaysiaaktif) – Gabungan Belia Tampin yang diwujudkan hasil kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah sini merangkumi pasukan pengakap daerah, Belia 4B, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Kelab Belia Bell Tamil, Puteri Islam dan Pandu Puteri Daerah Tampin telah berjaya menubuhkan Tabung Belia Prihatin bagi membantu golongan yang terkesan sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
Menurut Pesuruhjaya Pengakap Daerah Tampin Asrol Affindi Mad Nor, Tabung Belia Prihatin ini diwujudkan bagi membantu golongan yang terkesan terutamanya keluarga yang telah disahkan positif COVID-19, individu yang sedang dalam tempoh kuarantin atau golongan yang terjejas pendapatan kerana pelaksanaan PKP 3.0.

Mohd Firdaus Mohd Nasir (baju biru) dan Asrol Affindi Mad Nor (kemeja kelabu) menyampaikan sumbangan kepada golongan sasar.
“Tabung ini merupakan sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, badan-badan korporat, NGO serta sumbangan orang ramai.
“Untuk fasa pertama ini, sebanyak 80 beg makanan asas dan keperluan utama telah berjaya dikumpul dan diedarkan oleh ahli Gabungan Belia Tampin,” katanya ketika ditemui menyampaikan bantuan di sekitar daerah sini, baru-baru ini.
Tambah Asrol Affindi, pihak gabungan ini akan berusaha menambah lagi bantuan untuk fasa kedua yang dijadualkan bermula bulan Julai akan datang.
Selain itu, Exco Majlis Belia Negeri Sembilan Mohd Firdaus Mohd Nasir turut mengucapkan terima kasih kepada semua Persatuan Belia Tampin yang terlibat dalam usaha murni untuk membantu masyarakat setempat dan berharap kerjasama seumpama ini akan diteruskan untuk masa hadapan.
-FF