
Laporan/foto: S.Shanmuganathan/ R.Vikkneswaran (Daerah Timur Laut)
GEORGETOWN, 26 Jul (Malaysiaaktif)-Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan IPT pertama menerusi pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu menyediakan khidmat membantu masyarakat, khususnya golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang telah bermula di sini pada hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Induk PPV USM Profesor Dr Mohd Roslan Hashim, berkata PPV Pandu Lalu USM bagi permulaan akan menerima kira kira 100 penerima vaksin pada tiga hari pertama.
Menurutnya, sistem ini akan ditingkatkan kapasiti kepada lebih 200 penerima vaksin sehari yang dikendalikan sepenuhnya oleh warga USM.
“Pemberian vaksin tertakluk kepada keperluan kes-kes tertentu dan kriteria seperti penerima dos kedua, penerima tidak memandu sendiri dan penunggang motosikal tidak dibenarkan,” katanya dalam Sesi Sidang Media berkenaan kaedah vaksinasi secara pandu lalu kepada golongan OKU.
Sementara itu, pemimpin Masyarakat M.Satiamurthy, 47, memuji langkah USM dengan sistem PPV Pandu Lalu yang memudahkan golongan OKU dan warga emas.
“Saya gembira kerana tak perlu turun kereta dan proses suntikannya juga sangat cepat, tak payah tunggu sampai sejam.
“Bagi saya, ia cepat untuk menerima vaksin dengan kaedah ini kerana kita tidak perlu tunggu di luar,” katanya.
-ii-