Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerajaan akan Umum Kesinambungan PPN, Perincikan Langkah Pemulihan Ekonomi Semasa RMK-12, Belanjawan 2022

By 26 Julai 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: RTM

PUTRAJAYA, 26 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan mengumumkan kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan memperincikan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dan Belanjawan 2022.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata RMK-12 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 20 September 2021 manakala Belanjawan 2022 pada 29 Oktober 2021.

“Saya juga ingin maklumkan, Belanjawan 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan atau Recovery, Resilience, Reform.

“Sehubungan ini, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penerangan menteri-menteri pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan, menerusi Kementerian Kewangan juga buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Belanjawan termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan belanjawan tahunan.

“Selain itu, sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah Portal Pelan Pemulihan Negara dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat dan juga Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini, dengan cara yang lebih mesra pengguna,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda