
Laporan/foto: Abd Aziz Osman(Seberang Perai Utara)
KEPALA BATAS, 3 Ogos (Malaysiaaktif)– Pasukan Tugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) melaksanakan program vaksinasi COVID-19 selama tiga hari sehingga 2 Ogos 2021 melibatkan 1000 orang khususnya warga emas bagi mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19 secara terus di kawasan penempatan mereka.
Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Daerah SPU Norliana Ismail, memaklumkan sebanyak tiga ruangan menerima suntikan disediakan iaitu sebuah bas klinik bergerak dari Lembaga Penduduk dan Pembanggunan Keluarga Negara (LPPKN), sebuah bas Rapid Penang dan Dewan Madrasah Al-Saadah.
“Program ini merupakan inisiatif bersama antara Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini telah direalisasikan dan digerakkan melalui Sukarelawan Komuniti iaitu Kelab Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta agensi kerajaan yang lain.
“Program MOVAK selama tiga hari ini menyasarkan hampir 1000 orang penerima vaksin dengan anggaran purata seramai 250 orang setiap hari dengan kuota tambahan sebanyak 50 orang setiap hari bagi memberi peluang kepada warga emas yang berminat untuk mendapatkan suntikan pada ketiga-tiga hari tersebut,” katanya semasa ditemui di Madrasah Al-Saadah Kuala Muda Penaga, di sini semalam.
Menurut Norliana, madrasah ini beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin Bergerak (PPV) Daerah SPU.

ADUN kawasan Penaga Yusni Mat Piah (kiri) hadir meninjau program MOVAK di perkarangan Madrasah Al-Saadah Kuala Muda.
“PPV Bergerak ini juga mampu menyelesaikan masalah asas penempatan penduduk di pinggir bandar yang sukar ke lokasi PPV.
“Ramai penerima vaksin pada hari pertama hadir secara jumpa terus walaupun senarai nama secara lebih bersasar telah disediakan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Mereka yang tidak berpeluang pada program MOVAK ini tetap boleh mendapatkan suntikan vaksinasi COVID-19 di PPV lain iaitu Dewan Milenium Kepala Batas dan Pusat Konvensyen Perda Tasek Gelugor,” katanya.
-ii-