
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Roziman Mahmudin (Labuan)
LABUAN, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Belia perlu bersifat kompetitif dan mempunyai ilmu bagi menghadapi cabaran yang terbuka pada masa hadapan.
Menurut Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, para belia perlu dibekalkan dengan pelbagai ilmu yang berguna bagi mendepani cabaran membangunkan negara.
“Kalau ingin melihat kemajuan negara kita pada masa hadapan lihatlah belia pada zaman ini, tanamkan ilmu-ilmu yang berguna kepada mereka seperti ilmu perniagaan, kepimpinan dan sebagainya bagi melahirkan generasi belia yang bermutu.
“Masa depan menjanjikan cabaran yang begitu besar dengan kepesatan teknologi komunikasi yang moden kita bukan hanya bersaing di dalam Negara malah ke peringkat antarabangsa, para belia perlu bersedia dengan ilmu agar mampu bersaing serta menempuh cabaran masa depan,” katanya yang ditemui sempena Program Agihan Bakul Makanan Belada dan Merdeka@Komuniti anjuran bersama Persatuan Belia Kampung Sungai Lada dan Jabatan Penerangan Labuan, di Dewan Komuniti Kampung Sungai Lada, di sini hari ini.
Beliau turut menyeru persatuan-persatuan belia agar sentiasa berhubung dengan agensi-agensi lain bagi mencari peluang meningkatkan ilmu serta kemahiran para belia tempatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Labuan Supian Musa, berkata para belia perlu menghayati semangat kemerdekaan negara yang sebenar.
“Para belia perlu memerdekakan pemikiran mereka daripada sebarang unsur yang negatif, belia perlu bebas daripada pemikiran yang menghalang diri mereka dari melakukan perubahan yang lebih baik.
“Jangan terpengaruh dengan idealisma yang membawa belia kepada budaya yang tidak mencerminkan aspirasi pembentukan negara ini, kita perlu kekal dengan acuan yang sederhana dan tidak melampau dalam menyuarakan pandangan serta kritikan,” katanya.
Supian turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Belia Kampung Sungai Lada (Belada) yang menjadikan JaPen sebagai rakan strategik dalam menggelorakan semangat cintakan negara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.
“Sebanyak 40 bakul makanan disumbangkan kepada beberapa pertubuhan belia dan penduduk kampung Sungai Lada selain edaran bahan penerbitan JaPen kepada penduduk kampung,” katanya.
Hadir sama Ketua Kampung Sungai Lada Jali Mumin, Presiden Majlis Belia Labuan Abdul Mutalib Sahari dan Pengerusi Belada Faridzuan Abdul Harah.
-RI