Skip to main content
Berita TempatanHomePerlisViral

[VIDEO] Keharmonian Hidup Antara Manusia : Islam – Kristian

By 16 September 2017Tiada komen3 minit bacaan
Dr Sivin Kit sedang memetik daripada Bible apa yang dituntut oleh agama Kristian dalam membentuk keharmonian masyarakat.
Laporan / Foto Oleh Sufian Kamarudin (Perlis)

KANGAR, 15 September (Malaysiaaktif) — Ke arah memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama, seperti di  negara ini, kita perlu ada sifat saling hormat menghormati antara satu sama lain, walaupun berbeza daripada segi agama dan kepercayaan.

Ini tema dan fokus Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan adat istiadat Melayu Perlis serta Jabatan Agama Islam Negeri Perlis dalam menganjurkan sesi ‘Dialog Antara Agama : Teks Agama Tentang Keharmonian Hidup Antara Agama – Islam dan Kristian’ di sini semalam.

Ahli perbincangan terdiri daripada Mufti Negeri Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pastor Gereja Lutheran, Reverend Dr Sivin Kit, sementara Presiden Skuad Mubaligh Malaysia, Zamri Vinoth sebagai moderator.

dd34219c-456b-4da2-a0b5-58f6cdbb342b

Dalam hujahnya, Dr Mohd Asri berkata Allah SWT mengizinkan umatnya menjalin kerjasama dan berbuat baik dengan semua, termasuk pihak yang berlainan akidah.

Ini, menurutnya, berdasarkan premis bahawa perbezaan agama bukan penghalang bagi menjalinkan kerukunan dan memupuk kedamaian sesama manusia.

Beliau berkata Islam menolak sikap tidak toleransi dalam masyarakat berdasarkan hakikat bahawa Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan pelbagai manifestasi suku bangsa, ras, agama serta etnik.

Sehubungan itu, kata Dr Mohd Asri lagi, sekiranya umat Islam mencemuh atau mengejek masyarakat berlainan agama, ia akan hanya mendorong kepada tindak balas yang mungkin membawa mudarat kepada keharmonian masyarakat. Maka itu, inilah konsep toleransi yang diajar dalam Islam.

“Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, namun kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Antara yang hadir dalam sesi perbincangan.

Antara yang hadir dalam sesi perbincangan.

Bagi Dr Mohd Asri segala ini menjurus kepada keperluan dalam negara majmuk seperti Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya.

Oleh itu sebagai umat Islam dengan ajaran yang jelas, berusahalah melaksanakan perintah Al Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW agar dapat diwujudkan masyarakat dengan kehidupan yang harmoni hasil daripada toleransi terhadap umat beragama lain.

Sementara itu, menurut  Dr Sivin Kit, agama Kristian juga menuntut manusia menjurus ke arah kebaikan dengan menjaga hubungan baik sesama manusia.

Beliau berkata, “Dalam menjalin interaksi antara pelbagai bangsa dan agama, sama ada dalam ekonomi, politik, kebudayaan, agama dan lain-lain aspek kehidupan, adalah perlu dipastikan supaya diikuti landasan hubungan baik dan saling menguntungkan sesama umat manusia.

Dr Sivin Kit merujuk kepada beberapa teks dalam kitab Bible untuk menjelaskan apa yang dituntut tuhan bagi menjalinkan kehidupan yang aman dan harmoni.

Dr Mohd Asri turut mengupas tentang sifat orang bertakwa yang bermaksud berpegang kepada usaha agar tidak menyakiti orang lain dan sentiasa berbuat kebaikan agar mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT.

Di akhir perbincangan, Dr Mohd Asri merumuskan bahawa dalam usaha mencapai matlamat keharmonian sejagat, Nabi Muhammad SAW telah memberikan contoh terbaik.

Oleh yang demikian, katanya, eloklah dijadikan sebagai ikutan segala pesanan dan petunjuk daripada cara hidup Nabi Muhammad SAW yang secara keseluruhannya berpandukan ajaran Al Quran.

Beliau berkata jika ini dapat dilaksanakan, umat Islam akan menjadi umat yang terhormat di muka  bumi kerana Baginda pernah bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah orang yang suka berselisih dan bergaduh.”

Program yang dihadiri lebih 200 orang ini juga disiarkan secara terus menerus menerusi laman media sosial Facebook.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda